
WALAUPUN kadar sara diri (SSR) bagi beberapa keperluan asas seperti ayam, telur dan sayur tertentu menunjukkan angka yang tinggi, tahap keterjaminan makanan negara masih bergantung kepada import, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian berdasarkan data laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“SSR pada 2023 bagi beras adalah 56.2 peratus dan ayam 90.2 peratus telah mencatatkan sedikit penurunan. Namun, peningkatan positif dapat dilihat bagi daging lembu/kerbau (15.9 peratus) dan susu segar (66.8 peratus).
“Kadar Kebergantungan Import (IDR) bagi daging lembu/kerbau, daging kambing/bebiri, susu segar dan sayur-sayuran terpilih seperti cili telah menunjukkan trend penurunan. Namun, masih terdapat peningkatan IDR dicatatkan bagi beras, ayam dan sayur-sayuran terpilih seperti bayam dan bendi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana tahap keterjaminan makanan negara pada masa ini sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sekatan import membabitkan barangan asas.
Berdasarkan laporan Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022 yang dikeluarkan oleh Economist Impact, Mohamad berkata keterjaminan makanan Malaysia berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9.
Sekiranya berlaku cabaran luar seperti sekatan import makanan, katanya SSR dan IDR akan digunakan pakai sebagai indikator pengukuran.
Pada masa ini, beliau berkata, status stok fizikal beras negara sehingga 21 Oktober lalu merekodkan sebanyak 1,190,308 tan metrik yang meliputi 990,308 tan metrik stok dagangan dan 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara.
Beliau menegaskan bahawa jumlah ini adalah mencukupi bagi menampung keperluan negara untuk tempoh sekitar 5.95 bulan.
“Sehingga Oktober 2025, unjuran pengeluaran ayam adalah sebanyak 70.65 juta ekor di ladang adalah kekal stabil bagi menampung keperluan semasa negara,” katanya.





