KUANTAN – Program ‘No Kroni No Select 3.0’ yang berlangsung di Dataran Temerloh, dekat Temerloh, semalam, berjaya menghimpunkan kira-kira 50,000 peminat motosikal dari seluruh negara.
Memasuki edisi ketiga penganjuran, program itu mendapat sokongan penuh kerajaan Pahang menerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dan Pemuda UMNO negeri.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, program itu tidak hanya menumpukan kepada perhimpunan permotoran, tapi menjadi medan penyatuan anak muda.
“Tujuan utama penganjuran adalah untuk menyatukan anak muda tanpa mengira latar belakang atau jenis motosikal.
“Paling penting adalah semangat solidariti… kebersamaan yang wujud apabila kita dapat berkumpul beramai-ramai di sini,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Razali mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi tujuan perasmian program.
Sementara itu, pengerusi program, Mohd Azly Norzan berkata, program terbabit membawa misi memperkukuh hubungan antara anak muda dengan kerajaan negeri melalui gaya hidup positif.
“Kita mahu buktikan bahawa anak muda Pahang boleh bersatu atas semangat ‘brotherhood’ tanpa pilih kasih, tanpa kroni — hanya dengan minat dan cinta kepada dunia permotoran,” katanya yang juga Pengerusi MTSP Temerloh.
Program edisi ketiga itu menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik antaranya kereta, motosikal dan lembu.
Mohd Azly turut memaklumkan, sambutan luar biasa sejak edisi pertama menjadikan ‘No Kroni No Select’ sebagai antara acara komuniti anak muda terbesar di Pahang.


