
PUTRAJAYA – Langkah kerajaan menaikkan kuota subsidi daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan bagi perjalanan sehingga 5,000 kilometer jelas menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pemandu e-hailing, terutamanya golongan muda dan B40.
Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pemandu e-Hailing utara (NeHDA), Zabidi Bahador berpandangan, keperluan kerajaan meneliti semula mekanisme pengiraan subsidi yang disifatkan tidak menyeluruh kepada pemandu luar bandar.
Jelasnya, sistem pengiraan jarak yang digunakan oleh syarikat pengendali e-hailing (eHO) ketika ini hanya mengambil kira jarak antara lokasi pengambilan penumpang hingga ke destinasi, tanpa memasukkan jarak perjalanan pemandu ke lokasi penumpang dan perjalanan pulang ke kawasan permintaan tinggi selepas menghantar penumpang.
“Sebagai contoh, seorang pemandu menerima tempahan dari Alor Setar ke Kuala Nerang sejauh 25 kilometer. Selepas menurunkan penumpang, tiada tempahan diterima untuk perjalanan balik, menyebabkan pemandu perlu berpatah balik ke Alor Setar untuk mendapatkan tugasan seterusnya.
“Jumlah perjalanan sebenar adalah 50 kilometer, tetapi sistem hanya merekod 25 kilometer sebagai layak subsidi. Jika situasi ini berlaku tiga hingga empat kali sehari, penggunaan petrol boleh mencecah 130 kilometer, namun hanya separuh daripadanya diambil kira,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zabidi berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pemandu luar bandar tidak menikmati kuota subsidi tambahan secara adil, malah terpaksa menanggung kos petrol yang tinggi tanpa pampasan sewajarnya.

“Pada masa sama, data yang dibekalkan oleh syarikat eHO kepada kerajaan tidak mencerminkan realiti sebenar operasi pemandu di lapangan, khususnya mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar yang memerlukan pergerakan lebih jauh antara satu tugasan ke tugasan lain.
“Kerajaan juga perlu memastikan sistem eHO ditambah baik untuk merekod keseluruhan perjalanan berkaitan kerja, termasuk jarak ke lokasi pick-up dan perjalanan pulang ke zon permintaan tinggi.
“Paling penting, wakil pemandu dan persatuan seperti NeHDA mesti dilibatkan dalam pembangunan dasar subsidi agar suara lapangan tidak dipinggirkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, NeHDA menggesa kerajaan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak semula mekanisme pengiraan subsidi agar lebih menyeluruh dan adil kepada semua pemandu, tanpa mengira lokasi operasi.
“Kuota subsidi juga wajar mengambil kira zon operasi dan bukan hanya berdasarkan jumlah kilometer yang direkod secara separa oleh sistem sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Rakan Penghantar Melaka (RPM) menghargai keprihatinan kerajaan terhadap inisiatif terbabit namun tidak wajar sekiranya kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada pemandu sepenuh masa sedangkan pemain industri separuh masa turut memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem industri e-hailing.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pemandu di Melaka, malah juga kepada komuniti pemandu di seluruh Malaysia yang berdepan cabaran kos operasi tinggi termasuk penyelenggaraan kenderaan dan insurans e-hailing.
“Sehingga kini sektor p-hailing masih belum menerima kuota tambahan BUDI95, walaupun kerajaan telah mengumumkan bahawa penambahan kuota tersebut turut diperluaskan kepada sektor berkenaan yang menimbulkan menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan penghantar saban hari bertugas di lapangan.
‘RPM mencadangkan agar satu sesi dialog rasmi diadakan antara kerajaan, syarikat penyedia platform e-hailing dan p-hailing serta wakil komuniti pemandu bagi membincangkan secara terbuka mekanisme terbaik sebelum pelaksanaan penuh dasar ini dibuat.
“RPM yakin bahawa melalui pendekatan dialog dan libat urus yang inklusif, kerajaan dapat menambah baik dasar ini dengan lebih adil, berkesan dan sejajar dengan semangat BUDI MADANI demi memastikan kesejahteraan pemandu dan penghantar di seluruh negara benar-benar terbela,” katanya.






