
BINTULU – Dua nelayan dilaporkan hilang selepas kapal yang dinaiki mereka terbalik akibat laut bergelora dan angin kencang, kira-kira tiga batu nautika dari barat laut Tanjung Payung, petang Rabu.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE sekitar jam 6.15 petang, yang memaklumkan telah menyelamatkan empat mangsa di lokasi kejadian.
Salah seorang mangsa terselamat, Nasri Harun, memberitahu bahawa vesel nelayan kelas C yang dinaiki mereka karam disebabkan keadaan laut yang bergelora, manakala dua lagi rakan mereka masih belum ditemui.
Susulan laporan itu, MRSC Kuching mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan menggerakkan bot ronda Maritim Malaysia ke kawasan kejadian bagi melaksanakan operasi pencarian.
“Empat mangsa yang diselamatkan kini dalam pelayaran ke Pelabuhan Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di tangan dan dagu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, selain memastikan semua langkah keselamatan di laut dipatuhi, termasuk pemakaian jaket keselamatan serta mematuhi undang-undang pelayaran.
“Keselamatan nyawa perlu diutamakan. Sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum turun ke laut,” tegasnya.





