
KUCHING – Seorang pesara syarikat swasta berusia lingkungan 70-an di Kuching kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan kripto dalam talian tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah, mangsa mula terlibat dalam skim pelaburan tersebut pada pertengahan Mac 2025 selepas tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Mangsa kemudiannya dihubungi oleh suspek dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘AI Intelligence Future Forum’ sebelum ditawarkan peluang melabur dalam laman sesawang Bacxn Exchange.
“Mangsa telah membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan ‘keuntungan’ yang dipaparkan dalam akaun pelaburan berkenaan dan sehingga laporan polis dibuat, mangsa belum menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial tanpa membuat semakan atau penelitian terlebih dahulu.
Orang ramai juga disarankan membuat semakan terhadap senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak mendapat kebenaran melalui portal rasmi Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my).
Bagi individu yang baru membuat transaksi kewangan mencurigakan, PDRM menasihatkan supaya segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.
Selain itu, orang awam digalakkan memuat turun aplikasi Whoscall atau Investment Checker, serta menggunakan portal Semak Mule (http://semakmule.rmp.gov.my) untuk menyemak nombor telefon dan akaun bank yang disyaki terlibat dalam penipuan.
Maklumat lanjut mengenai jenayah komersial boleh disalurkan melalui Hotline JSJK Sarawak di talian 011-62890089 yang beroperasi 24 jam sehari.



