
KOTA BELUD – Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) yakin pelaksanaan penuh fasa kedua pengukuhan sempadan negara akan dapat dicapai menjelang 1 Januari 2026, selaras dengan pelan strategik nasional yang dirangka untuk memperkukuh kawalan di 125 laluan utama seluruh negara.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) baru-baru ini, pihaknya telah diarahkan oleh Ketua Setiausaha Negara untuk menyiapkan semua bentuk pelan strategik yang akan dibentangkan kepada beliau serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Katanya, langkah itu merupakan usaha untuk mempercepat dan memperkemas lagi proses penubuhan AKPS.
“Insya-Allah, pada minggu kedua bulan November nanti, mesyuarat yang akan melibatkan semua agensi di bawah AKPS termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi memperhalusi kaedah kerja, kekuatan sumber manusia, aset serta perkara-perkara berkaitan untuk pelaksanaan fasa kedua.
“Kami kini berada di fasa pertama. Fasa kedua akan melibatkan pengambilalihan 103 lagi pintu masuk baharu,” katanya semasa sidang media selepas Program Benteng Persada: Dari Sempadan ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, AKPS kini berusia setahun dan masih dalam tempoh penstabilan, namun menunjukkan kemajuan positif walaupun berdepan kekangan sumber dan cabaran awal struktur.
“Australian Border Force dan Singapore ICA mengambil masa hampir 10 tahun untuk stabil. Jadi AKPS juga perlukan masa dan ruang untuk membina kekuatan. Sekarang kami masih ibarat bayi yang belajar berdiri sebelum berjalan.
“Kami menyeru rakyat agar bersabar dan memahami kepentingan proses pemeriksaan di pintu masuk negara yang menjadi simbol kedaulatan dan maruah negara.
“Kalau rakyat sendiri tidak menghormati proses pemeriksaan, bagaimana kita mahu menuntut warga asing menghormatinya?
“Undang-undang mesti dipatuhi tanpa mengira siapa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, mengenai operasi semasa, beliau berkata, tiada aduan serius diterima terhadap pegawai AKPS, namun sebarang dakwaan akan disiasat dengan telus berasaskan bukti CCTV dan keterangan saksi.
“Saya perlu berlaku adil kepada pegawai saya. Mereka bekerja keras dalam keadaan serba kekurangan.
“Jika ada isu, kita siasat dengan adil, bukan berdasarkan persepsi.
“Sempadan ini bukan sekadar garisan geografi, tapi lambang maruah dan identiti negara yang mesti kita pelihara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar rakyat terus berdiri seiring dengan usaha memperkukuh sempadan, demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
“Setiap langkah yang diambil dilihat bukan sekadar memperkukuh pertahanan fizikal tetapi juga menyatukan tekad seluruh rakyat untuk mempertahankan tanah air tercinta daripada sebarang ancaman,” tegasnya.






