
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui beberapa petunjuk baharu bagi
mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi PDRM telah memanfaatkan hubungan dengan Polis Antarabangsa (Interpol) demi membawa balik individu tersebut.
“Kita menemui beberapa petunjuk baru. Saya sendiri sudah bertemu Ketua Interpol dan sememangnya notifikasi pihak berkuasa kita dalam pengetahuan Interpol.
“Pihak polis dalam kes ini menjalankan usaha mereka memanfaatkan hubungan Police To Police (P2P) dan jaringan Interpol. Itu adalah tertib proses bagi tujuan membawa balik mana-mana individu yang dikehendaki untuk berdepan dengan proses undang-undang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen PH Bukit Gelugor Ramkarpal Singh sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan kesukaran untuk membawa pulang Adlan seperti yang dilaporkan.

Bagaimanapun, Saifuddin enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.
“Isunya sekarang keberadaannya. Saya boleh sebut bahawa kerjasama kita dengan pihak polis antarabangsa sedang berjalan. Saya tidak mahu jelaskan lebih terperinci sebab itu boleh mengganggu kerja-kerja siasatan kita tapi kita mengesan beberapa petunjuk baru yang membantu usaha kita mengesan dan membawa balik.
“Misalnya SPRM semalam membuat kenyataan kertas siasatan yang mereka buka sudah selesai maknanya selepas ini akan pergi ke Peguam Negara. Sama ada akan berakhir pendakwaan atau tidak biar Peguam Negara (tentukan),” katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, pada Rabu mengesahkan pihaknya sudah selesai menyiasat kes pecah amanah membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Azam berkata, ketika ini tugas SPRM adalah memastikan pertuduhan terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguamnya, Mansoor Saat, berlaku di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini berdepan kesukaran untuk membawa pulang kedua-dua suspek berikutan beberapa faktor, termasuklah mengenal pasti aset di luar negara.




