
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) ketika ini mengambil pendekatan melaksanakan kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan dalam memperkasa ekosistem perkhidmatan pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengakui bahawa kementeriannya berdepan kekangan peruntukan dan sumber bagi menyediakan lebih banyak fasiliti bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Menurut beliau, dalam masa yang sama kementerian menggalakkan penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta.
“Betul, ekosistem untuk penggunaan perkhidmatan awam mesti menyeluruh, bukan saja perkhidmatan bas tetapi kemudahan sokongan seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki.
“Namun, ini memerlukan kerjasama semua pihak, MoT akan cuba bantu tetapi kita ada kekangan dari segi peruntukan dan sumber.
“Seperti perhentian bas, perlu ada kerjasama dengan PBT bagi sediakan tapak dan pembinaan hentian bas, ini sudah tentu akan bantu (menambah baik ekosistem pengangkutan awam),” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang ingin tahu bagaimana MoT memainkan peranan memastikan lebih banyak perhentian bas disediakan dalam usaha meningkatkan akses rakyat bagi penggunaan perkhidmatan bas awam.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban memberitahu, MoT menggalakkan pelaksanaan model kerjasama awam-swasta (PPP) dalam usaha menyediakan lebih banyak perhentian bas di seluruh negara.
“Kita menawarkan model ‘menang-menang’ kepada pihak swasta. Sebagai contoh, mereka dibenarkan mempamerkan iklan pada hentian bas yang dibangunkan,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Poay Tiong mengenai jumlah terkini pengguna perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY yang disediakan melalui Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST), Anthony memaklumkan bahawa sehingga Ogos lalu, sebanyak 49,611 pengguna telah menikmati kemudahan bas percuma yang disediakan kepada warga emas, pelajar sekolah, mahasiswa dan orang kelainan upaya (OKU).
Memberikan perincian lanjut , katanya, 78 peratus daripada pengguna yang menikmati perkhidmatan bas percuma melalui kad konsesi BAS.MY adalah warga emas, diikuti 13 peratus dalam kalangan pelajar sekolah, OKU mewakili enam peratus dan mahasiswa (tiga peratus).
“Jumlah pengguna kad konsesi BAS.MY paling tinggi dicatatkan di Johor Bahru, Kuching, Ipoh, Seremban dan Melaka. “Sehingga bulan ini, perkhidmatan BAS.MY telah beroperasi di kawasan Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching. Perkhidmatan ini juga sedang diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu,” katanya





