MANCHESTER City tewas buat kali pertama sejak Ogos, selepas ditundukkan 1-0 oleh Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park — kemenangan keempat berturut-turut tuan rumah.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Matty Cash pada minit ke-19 hasil sepakan penjuru Emiliano Buendia.
Cash yang menerima bola di luar kotak penalti melepaskan rembatan kaki kiri kencang menewaskan penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma.
City hampir menyamakan kedudukan pada babak kedua apabila cubaan Savinho mencetus kekalutan di hadapan gawang Villa, namun Pau Torres sempat menolak bola keluar melepasi palang.
Pada minit-minit akhir perlawanan, jaringan Erling Haaland dibatalkan selepas semakan pengadil mendapati berlaku ofsaid dalam gerakan awal serangan tersebut.
Kekalahan itu menamatkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah City dalam semua kejohanan dan menyebabkan mereka jatuh ke tangga keempat liga — enam mata di belakang pendahulu Arsenal.
Sementara itu, Aston Villa melonjak ke tangga ketujuh liga, hanya satu mata di belakang Manchester City, sekali gus terus mengekalkan momentum cemerlang di bawah bimbingan Unai Emery.






