LPT3: Antara sentimen politik dan realiti kewangan negara

KENYATAAN Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) hanyalah satu cubaan politik murahan untuk menanam persepsi bahawa Pantai Timur dianaktirikan oleh Kerajaan MADANI.

Hakikatnya, projek LPT3 bukan gagal ia sedang melalui proses semakan semula yang perlu bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjadi satu lagi ‘gajah putih’ akibat kelemahan perancangan dan model kewangan yang tidak mampan.

Fakta yang disembunyikan

Ahmad Samsuri mendakwa kononnya kerajaan lebih mengutamakan projek pengangkutan di negeri lain seperti LRT Pulau Pinang yang bernilai RM17 bilion, berbanding LPT3 yang ‘tergantung’ sejak 2006.

Namun, beliau gagal menyebut fakta penting bahawa kajian teknikal dan penilaian komersial LPT3 masih belum selesai sepenuhnya dan kekal di peringkat Request for Proposal (RFP).

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kerja Raya, projek LPT3 hanya boleh diteruskan setelah keupayaan konsesi dikenal pasti dan disahkan mampu menanggung kos pembinaan yang kini dianggarkan mencecah RM9.8 bilion.

Kerajaan tidak akan meluluskan projek berbilion ringgit tanpa jaminan kelestarian kewangan dan kemampuan pelaksana.

Ini bukan diskriminasi ini tanggungjawab fiskal.

Kerajaan MADANI: Bina, bukan janji

Berbanding bermain persepsi, Kerajaan MADANI terus menyalurkan peruntukan sebenar kepada rakyat Pantai Timur.

Dalam Belanjawan 2026, lebih RM3.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf jalan persekutuan, projek tebatan banjir, bekalan air, serta kemudahan awam di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Projek Central Spine Road (CSR) bernilai RM9 bilion yang bakal menghubungkan Bentong ke Gua Musang dan seterusnya menjadi rangkaian pelengkap kepada LPT3.

Naik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (RM200 juta), meningkatkan kapasiti penerbangan dan kargo.

Projek tebatan banjir di Kemaman dan Kuala Nerus (RM700 juta) bagi mengatasi masalah banjir berulang.

Program perumahan SPNB dan PPR rakyat yang terus aktif dilaksanakan di seluruh daerah.

Inilah bukti jelas bahawa Pantai Timur tidak pernah dianaktirikan. Yang membezakannya hanyalah antara kerajaan yang bekerja dengan fakta dan kerajaan yang berpolitik dengan retorik.

Projek siap vs projek cakap

Perbandingan yang dibuat Samsuri dengan projek LRT Pulau Pinang juga tersasar.
LRT Pulau Pinang bukan diluluskan secara sembrono. Ia projek yang telah siap semua laporan penilaian impak, reka bentuk terperinci, dan jaminan pembiayaan, termasuk kerjasama antara Kerajaan Negeri dan konsesi.

Sebaliknya, LPT3 masih gagal meyakinkan konsesi untuk membiayai pembinaan secara mampan.

Jika diteruskan tanpa pelan kukuh, kadar tol dijangka terlalu tinggi membebankan rakyat Terengganu dan Kelantan sendiri.

Kerajaan MADANI tidak akan mengulangi kesilapan lalu di mana projek mega diluluskan tanpa asas kukuh lalu terbengkalai separuh jalan, meninggalkan hutang dan tol yang membunuh ekonomi rakyat.

Sentimen lama, strategi baharu

Pas nampaknya kembali kepada strategi lama menyemarakkan sentimen ‘Pantai Timur dianaktirikan’ setiap kali mereka kehilangan hujah pembangunan sebenar.

Tetapi rakyat hari ini sudah matang. Mereka tahu pembangunan bukan sekadar papan tanda dan janji projek, tetapi kemampuan menyiapkan apa yang dijanjikan dengan penuh tanggungjawab.

Lebih ironik, ketika Samsuri menuduh Kerajaan Persekutuan tidak adil, beliau sendiri gagal menyiapkan pelbagai projek negeri seperti projek tebatan banjir, rumah mampu milik, malah sistem bekalan air di Terengganu yang terus bermasalah walaupun di bawah pentadbiran beliau selama dua penggal.

Soalnya bukan siapa yang menjerit paling kuat, tetapi siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

Pembangunan seimbang, bukan slogan

Kerajaan MADANI kekal konsisten dengan prinsip pembangunan seimbang antara wilayah.

LPT3 tetap dalam radar kerajaan, tetapi akan dilaksanakan bila semua syarat teknikal dan kewangan selesai.

Keutamaan sekarang adalah memastikan setiap sen dibelanjakan dengan nilai terbaik untuk rakyat bukan untuk memenuhi slogan politik yang berakhir dengan kegagalan.

Lebuh raya bukan sekadar jalan, ia lambang tanggungjawab.
Dan tanggungjawab itu menuntut kejujuran, bukan retorik.

‘Kerajaan MADANI tidak menolak projek, cuma menolak pembaziran.’

LPT3 akan dibina bila tiba masa yang tepat — bukan untuk kepentingan politik, tapi demi manfaat rakyat seluruh Pantai Timur.

Related Posts

SOP pastikan ibadah korban lebih selamat dan terkawal perlu dilaksana secara pragmatik

AIDILADHA sentiasa membawa suasana penuh makna kepada umat Islam apabila masjid, surau dan kawasan kejiranan kembali hidup dengan pelaksanaan ibadah korban selain memperlihatkan semangat kebersamaan serta gotong-royong masyarakat dalam menghidupkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PN retak dari dalam: Kenyataan Bersatu dedah perebutan kuasa makin kritikal

KENYATAAN media rasmi Biro Politik Bersatu pada 24 Mei 2026 dilihat bukan lagi sekadar penjelasan terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tetapi menjadi petunjuk paling jelas bahawa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar