PADANG BESAR – Seorang wanita warga Thailand berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 1.7 kilogram di Kompleks Pemeriksaan ICQS Padang Besar minggu lalu.
Tertuduh, Kittiya Chiayaphuek, 27, didakwa membawa masuk bahan terlarang itu dari negara jiran menggunakan laluan penumpang sebelum ditahan sepasukan anggota Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi rutin pada 8 Oktober lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 657 gram (g) ganja, manakala pertuduhan kedua pula melibatkan 1,078g ganja yang ditemui di lokasi dan waktu sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, Nurul Idayu Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, tertuduh ditahan hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi yang mencurigakan sewaktu melalui imbasan pengimbas di kompleks pemeriksaan berkenaan.
Siasatan awal mendapati ganja berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan diseludup masuk melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah, sementara menunggu sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi pada Januari depan.






