
SARATOK — Pasukan MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Saratok berjaya menahan tiga lelaki tempatan selepas serangkaian pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan sekitar Saratok dan Kabong dalam sebuah operasi bersepadu Op Tapis Khas pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang dilaksanakan dari jam 8 pagi hingga 11.59 malam itu memberi tumpuan di beberapa lokasi panas sekitar Saratok dan Kabong.
“Semasa rondaan di kawasan stesen minyak Petronas Saratok, anggota kami telah menahan dua lelaki dan hasil pemeriksaan menemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk menagih dadah,” jelas beliau dalam kenyataan.

Menurutnya, seorang lagi lelaki ditahan di Jalan Taran, Nyabor, Kabong hasil maklumat awam, dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine.
“Suspek tersebut turut mempunyai 19 rekod lampau melibatkan jenayah dan narkotik, menunjukkan tahap penglibatan serius dalam aktiviti jenayah,” katanya.
DSP Mathew menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 44 tahun telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.







