KUALA PERLIS – Beberapa jadual pelayaran feri bagi laluan Langkawi–Kuala Perlis–Langkawi bagi bulan Oktober ini terpaksa diawalkan dan dilewatkan susulan keadaan alur pelayaran yang kembali cetek di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis.
Langkah itu diambil oleh Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (KFLV) selepas mendapati dasar laut terminal berkenaan disaluti lumpur, sekali gus menghadkan pergerakan feri pada waktu tertentu.
Menurut Pengurus Operasi KFLV, Leftenan Komander (Bersara) Norhafiz Abdul Wahid TLDM, paras kedalaman air yang sebelum ini sekitar 1.0 meter telah dinaikkan kepada 1.2 meter bagi menjamin keselamatan feri dan penumpang.
“Pelarasan ini penting bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan ketika air surut.
“Pindaan dibuat berdasarkan keadaan semasa paras air bagi memastikan perjalanan feri tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pindaan jadual melibatkan tempoh antara 17 hingga 28 Oktober 2025, dengan 18 trip dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan 16 trip dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi dikenal pasti terjejas.
Antara jadual yang diawalkan ialah pelayaran pada jam 1 petang, manakala terdapat juga pelayaran dilewatkan sehingga 8.30 malam, bergantung kepada kedalaman air laut di terminal.
Norhafiz menjelaskan bahawa penumpang yang membuat tempahan tiket atas talian akan dimaklumkan melalui e-mel atau pesanan ringkas (SMS), manakala pembeli tiket kaunter boleh merujuk kemas kini di laman Facebook Cuti-Cuti Langkawi.
“Kami memahami kesulitan yang mungkin dialami pengguna. Justeru, semua perubahan jadual akan dimaklumkan lebih awal untuk mengelakkan kekeliruan,” jelasnya.
Beliau turut menasihati penumpang yang ingin menukar tarikh perjalanan supaya menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Cuti-Cuti Langkawi di talian 012-732 7174 atau hadir ke kaunter bagi urusan lanjut.
.






