
KOTA KINABALU – Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Deepavali bagi memastikan harga barangan asas kekal stabil berkuat kuasa dari 16 hingga 22 Oktober 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata pada masa sama, bersempena sambutan Deepavali 2025, KPDN juga melaksanakan beberapa program khusus yang terkait dengan ikhtiar kos sara hidup.
“Antaranya, Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
“PJRM dilaksanakan di seluruh negara termasuk di pasar raya besar dengan tawaran harga rendah bagi barangan keperluan asas, manakala SIM@PAX dijalankan dengan kerjasama Petronas AutoExpert bagi menawarkan diskaun servis kenderaan kepada pengguna.
“Maklumat lokasi dan jadual PJRM boleh disemak melalui laman web KPDN, manakala tempahan bagi SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi Setel Petronas.
”Terdapat 94 buah premis bengkel di seluruh negara yang terlibat dalam pelaksanaan SIM@PAX sempena Deepavali bermula 5 hingga 19 Oktober 2025.
“Melalui pendekatan MADANI, kita mahu setiap rakyat Malaysia merasai manfaat bantuan secara langsung dan menikmati hasil pertumbuhan ekonomi negara secara saksama,” katanya dalam sidang media sempena program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025, di sini pada Isnin.

Armizan berkata, semua inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan subsidi dan bantuan sampai terus kepada rakyat secara telus, teratur dan berkesan.
Selain itu, inisiatif Kerajaan MADANI yang meneruskan dan memperkukuh bantuan tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM13 bilion di bawah Belanjawan 2026.
Armizan berkata, bantuan STR dan SARA akan terus disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah termasuk kategori B40, M40 rendah, warga emas serta bujang, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan bersasar diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Peruntukan itu jauh lebih tinggi berbanding RM2.6 bilion ketika pelaksanaan awal bantuan tunai pada tahun 2012, ini menunjukkan peningkatan hampir lima kali ganda dalam tempoh lebih sedekad sebagai bukti kesungguhan kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.
“Bagi kategori penerima berpendapatan di bawah RM2,500 dengan tanggungan lima orang anak, jumlah bantuan kini meningkat sehingga RM4,600 setahun, hasil gabungan antara STR dan SARA.
“Jika dibandingkan dengan tahun 2012, kumpulan sama hanya menerima RM500,” kata beliau.
Menurutnya lagi, peningkatan ketara itu gambaran keberkesanan dasar bantuan tunai sebagai salah satu kaedah paling efektif dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Program SARA yang diperkenalkan di bawah Kerajaan MADANI merupakan inisiatif baharu yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan harian menggunakan MyKad, sekali gus menjadikan penyaluran bantuan lebih cekap dan telus.
“Jika sebelum ini bantuan hanya diberikan dalam bentuk tunai, kini dengan penggunaan MyKad, rakyat dapat membeli keperluan asas di premis yang mengambil bahagian dengan kawalan yang lebih berkesan,” tambahnya
Selain bantuan tunai kepada kategori tertentu, kerajaan sekali lagi melaksanakan SARA RM100 kepada semua 22 juta rakyat dewasa di Malaysia, membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
“Langkah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada seluruh rakyat dewasa, tetapi juga menunjukkan kejayaan pelaksanaan sistem subsidi bersasar yang menggunakan MyKad sebagai medium utama penyaluran bantuan,” ujarnya.
Kerajaan juga meneruskan pelbagai bentuk bantuan lain dalam Belanjawan 2026 termasuk baucar buku untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan tunai RM150 kepada pelajar sekolah, serta bantuan kebajikan tunai di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).





