
SARATOK – Suasana di Tokong Fung Shan Shu pagi Isnin, dipenuhi aura tradisi dan keagamaan apabila Pemanca Lim Guan Ann bersama Jawatankuasa dan AJK Tokong menghadiri upacara khas sempena sambutan ulang tahun tokong berkenaan.
Menurut Pemanca Lim, upacara ini merupakan amalan turun-temurun masyarakat Cina di Saratok.
“Upacara pagi ini diadakan untuk menyeru roh agar bersama meraikan ulang tahun tokong, di samping memohon kesihatan serta kelancaran sambutan.
“Dari dahulu lagi, masyarakat Cina di Sarawak terkenal dengan perarakan budaya dan agama yang bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, malah menarik perhatian pelancong dari luar,” katanya ketika ditemui.

Sebanyak 73 kontinjen dari seluruh Sarawak bakal memeriahkan perarakan malam ini, menjadikan sambutan tahun ini antara yang terbesar pernah dianjurkan.
Sambutan ini diadakan bagi memperingati penubuhan Tokong Fung Shan Shu yang telah menjadi warisan budaya dan keagamaan masyarakat Cina di Saratok sejak puluhan tahun lalu.
“Malam ini adalah kemuncak sambutan. Acara utama ialah perarakan mengelilingi pekan Saratok, dan kami berharap masyarakat akan turun menyaksikan serta meraikan bersama,” ujarnya lagi.






