Belanjawan 2026 pamer tekad Kerajaan MADANI perkukuh ekonomi, perkasa pertahanan negara

PUTRAJAYA – Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi manifestasi komitmen Kerajaan MADANI untuk membina Malaysia yang sejahtera, berdaya tahan, dan selamat dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, pembentangan itu mempamerkan pendekatan yang seimbang antara keperluan ekonomi rakyat, pembangunan inklusif, dan pengukuhan keselamatan negara.

Menurutnya, peruntukan melebihi RM400 bilion memperlihatkan kesinambungan agenda Ekonomi MADANI yang menumpukan pertumbuhan mampan, pengurusan fiskal berhemah, serta keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah serta kelas pertengahan.

“Ini juga menggambarkan satu pendekatan pragmatik kerajaan dalam menyesuaikan dasar fiskal dengan cabaran global seperti inflasi, perubahan iklim, serta ketidaktentuan geopolitik serantau. Belanjawan 2026 menampilkan satu hala tuju yang menyeluruh.

“Dasar itu memelihara kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi, dan menjamin keselamatan negara. Walaupun cabaran pelaksanaan serta tekanan fiskal masih wujud, belanjawan ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk mengekalkan kestabilan politik dan sosial sebagai asas kepada pertumbuhan mampan.

“Ia juga menunjukkan bahawa Malaysia berusaha menyesuaikan diri dengan realiti geopolitik baharu, di mana kekuatan ekonomi dan keselamatan saling bergantung bagi memastikan negara terus makmur, stabil, dan berdaulat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, peruntukan RM42.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuktikan kesiapsiagaan kerajaan bagi memastikan negara mampu menghadapi ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk keselamatan sempadan, jenayah rentas negara, serta ancaman siber.

“Antara inisiatif utama adalah pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan seperti kapal sokongan ‘Multi Role Support Ship’, bot ronda Maritim, dan kenderaan taktikal untuk polis, selain kebajikan anggota keselamatan melalui pembinaan kemudahan baharu, pos Pasukan Gerakan Am (PGA), dan penambahbaikan perumahan anggota bagi meningkatkan moral dan kecekapan operasi.

“Pendekatan ini menunjukkan kesedaran bahawa pembangunan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada keselamatan nasional. Dalam konteks geopolitik semasa, di mana ketegangan Laut China Selatan, jenayah siber, serta migrasi tidak terkawal terus menjadi isu utama, Malaysia perlu mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan ketahanan strategik.

“Namun, keberkesanan langkah ini bergantung kepada pelaksanaan yang telus, penyelenggaraan aset yang efisien, serta koordinasi antara agensi keselamatan bagi memastikan setiap peruntukan memberi impak maksimum kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Dari segi ekonomi dan sosial, Nur Ashikin berpandangan, Belanjawan 2026 disifatkan mengekalkan fokus terhadap pengurusan kos sara hidup, peningkatan pendapatan isi rumah, dan penciptaan peluang pekerjaan.

Menurut beliau, inisiatif seperti bantuan tunai bersasar, pelanjutan subsidi bahan api terpilih, dan sokongan kepada pendidikan awal kanak-kanak memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kewangan rakyat.

“Dalam masa yang sama, penekanan kepada peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling) tenaga kerja serta penglibatan wanita dalam pasaran buruh menunjukkan keazaman untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan produktif.

“Bagi sudut pembangunan wilayah dan infrastruktur, kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar melalui projek jaringan pengangkutan, peningkatan infrastruktur digital, serta pelaburan dalam tenaga hijau,” katanya.

Tambahnya, langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, tetapi juga memperkukuh daya saing nasional dengan menumpukan kepada ekonomi berasaskan inovasi.

“Pendekatan inklusif ini memberi isyarat jelas bahawa pembangunan ekonomi negara harus berjalan seiring dengan keadilan sosial dan peluang saksama kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Related Posts

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

PADANG BESAR – Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSMP) di Bukit Chabang yang terbengkalai selama 11 tahun tidak boleh lagi berulang sehingga menjadi satu kebiasaan. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anjing liar: Penguatkuasaan diteruskan, namun mesti berperikemanusiaan – Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan terus melaksanakan tindakan terhadap isu anjing liar yang boleh mengancam keselamatan awam, namun penguatkuasaannya mesti dilakukan secara berhemah, berperikemanusiaan dan tidak bersifat kejam. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang

Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang