Malaysia perlu segerakan usaha perkukuh ekosistem digital – Forum Menteri

MALAYSIA perlu segera memperkukuh ekosistem digital bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi kecerdasan buatan (AI) dan memastikan negara kekal berdaya saing dalam arus kemajuan teknologi global yang pesat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa keperluan itu mendesak bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi perubahan besar dalam landskap ekonomi dan tenaga kerja berasaskan teknologi.

Kedua-dua menteri itu berucap pada Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan, bersempena International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Forum berkenaan dikendalikan oleh Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Mokhtar.

Fahmi berkata, AI perlu dilihat sebagai alat pelengkap untuk meningkatkan kemampuan manusia, bukan sebagai pengganti kepada manusia.

“Yang lebih penting daripada menggunakan teknologi ini adalah untuk memiliki kerangka pemikiran yang betul. Bukan lagi tentang ‘to be or not to be’, tetapi pertanyaannya sekarang ialah apakah persoalan yang perlu dilontarkan?” katanya.

Sebagai ahli panel, beliau berkata, pelajar secara amnya lebih terbuka menerima AI berbanding pensyarah atau pentadbir, sambil menekankan kepentingan kepimpinan dalam membimbing penggunaan AI yang bertanggungjawab.

“Mereka yang berada dalam posisi kepimpinan lazimnya lebih konservatif. Tetapi, sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan kepada mereka cara terbaik menyesuaikan diri dan mengguna pakai teknologi baharu,” katanya.

Fahmi memetik laporan McKinsey & Company’s Super Agency in the Workplace yang mendapati pekerja lebih bersedia berbanding pemimpin korporat dalam menerima pakai transformasi digital dan keterangkuman.

Beliau turut berkongsi bahawa mesin pengisihan Pos Malaysia dapat memproses 22,000 pucuk surat dalam masa seminit berbanding 1,500 pucuk surat sehari oleh pekerja, namun masih memerlukan tenaga kerja manusia untuk mentafsir tulisan tangan yang tidak jelas, membuktikan bahawa teknologi masih mempunyai batasannya.

Fahmi berkata, beberapa agensi kerajaan juga telah menggunakan AI dengan berkesan, termasuk Jabatan Audit Negara yang dapat meringkaskan laporan dalam masa beberapa hari dengan bantuan teknologi itu berbanding berbulan-bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau memberikan amaran bahawa AI turut menimbulkan risiko penyalahgunaan, terutamanya menerusi kaedah ‘deepfake’ dan ‘scam’.

“Walaupun AI menawarkan peluang yang amat besar, teknologi itu juga membuka pintu kepada penyalahgunaan. Ramai yang menghubungi saya mengatakan bahawa wajah mereka digunakan dalam penipuan ‘deepfake,’” katanya.

Sementara itu, Gobind menegaskan bahawa Malaysia perlu membina asas yang kukuh dari segi infrastruktur, data dan kepercayaan bagi menghadapi transformasi AI.

“Kita perlu memahami falsafah di sebalik AI. Pemahaman ini memberi kita perspektif untuk merangka strategi bagi mempersiapkan negara mengambil manfaat daripada teknologi ini,” katanya.

Beliau berkata, Akta Perkongsian Data yang berkuat kuasa pada 28 April lepas membolehkan kementerian dan agensi mendigitalkan data dengan selamat dan membangunkan penyelesaian berasaskan AI.

Malaysia, katanya, turut menarik firma teknologi global utama seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google, Oracle dan NVIDIA untuk membina pusat data di negara ini, sekali gus mengukuhkan keupayaan digital negara.

Pelaburan itu penting untuk memastikan Malaysia mempunyai kuasa pengkomputeran yang mencukupi bagi ekonomi berpacukan AI.

Gobind turut menekankan bahawa keyakinan dan kesiapsiagaan mesti berkembang seiring dengan inovasi untuk merealisasikan kesan menyeluruh teknologi itu, sambil mengingatkan bahawa visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia negara AI menjelang 2030 memerlukan tindakan segera di seluruh sektor, jika tidak negara lain akan maju manakala Malaysia berisiko ketinggalan.

Related Posts

Fahmi cadang taklimat berkala isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan supaya sesi taklimat media secara berkala diadakan berhubung pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) bagi mengelakkan salah faham…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih meneruskan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sebelum pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun media…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fahmi cadang taklimat berkala isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

Fahmi cadang taklimat berkala isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎