BEREGU wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah membuktikan status mereka selaku antara gandingan terbaik dunia apabila menjuarai Terbuka Artik 2025, sekali gus merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF kedua musim ini.
Pasangan nombor dua dunia dan naib juara dunia itu menampilkan aksi bertenaga serta tersusun untuk menundukkan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakashini, dengan kemenangan 21-7, 21-9 dalam aksi final yang berlangsung selama 32 minit di Arena Energia, hari ini.
Dari awal set pertama lagi, Pearly-Thinaah menunjukkan rentak agresif dengan serangan tajam serta kawalan gelanggang kemas, memaksa lawan dari Jepun itu melakukan banyak kesilapan.
Set kedua menyaksikan mereka mengekalkan momentum dengan corak permainan pantas dan berdisiplin, tidak memberi peluang kepada Iwanaga-Nakashini untuk bangkit.
Pertahanan kukuh dan komunikasi mantap antara kedua-duanya menjadi kunci kepada kemenangan mudah itu.
Kemenangan itu memperkukuh kedudukan mereka dalam ranking dunia dan menebus kekecewaan tahun lalu apabila sekadar bergelar naib juara di kejohanan sama.
Kejayaan di Finland itu menambah koleksi kejuaraan Jelajah Dunia mereka kepada lima gelaran keseluruhan, selepas turut menjuarai Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024 dan Terbuka Thailand 2025.
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,543), manakala Iwanaga-Nakashini, menerima AS$18,050 (RM76,261) selaku naib juara.








