
PAPAR – Kerajaan Persekutuan terus memberi komitmen tinggi membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam menyelesaikan isu legasi yang telah berlarutan sekian lama, khususnya ketidakstabilan bekalan air dan elektrik di negeri ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, melalui Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan pembangunan Sabah bagi tahun ini ditingkatkan kepada RM6.9 bilion, termasuk komponen utama berkaitan sektor tenaga dan air.
“Bagi sektor tenaga, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membantu mewujudkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah, meliputi RM880 juta subsidi tarif, bahan api dan solar berskala besar.
“Selain itu, RM189.8 juta bagi projek bekalan elektrik luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RM128 juta bagi projek sambungan bekalan elektrik di bawah PETRA, Kementerian Tenaga dan Transformasi Air,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Menandatangani MoU bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties and WK Konsortium di Palm Mall Kinarut, di sini pada Sabtu.
Armizan berkata Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan RM765 juta bagi fasa kedua Projek Southern Link yang bertujuan melengkapkan rangkaian grid elektrik sepanjang 330 kilometer yang dirancang sejak 1980.
“Dengan adanya ‘connectivity’ rangkaian grid ini, isu seperti gangguan bekalan di Pantai Timur akibat pencawang terkesan dapat diatasi.
“Ini komitmen Kerajaan Persekutuan walaupun Sabah telah mengambil alih kawal selia tenaga,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan juga meneruskan komitmen RM1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah yang sedang dilaksanakan sejak 2024 dan disasarkan siap sepenuhnya pada 2026.
“Ini menggambarkan hubungan muafakat dan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan walaupun kuasa kini di bawah negeri.
“Kerajaan Persekutuan tetap komited membantu menyelesaikan isu rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, walaupun isu air dan elektrik sering dimainkan menjelang pilihan raya, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa projek-projek berkaitan sedang berjalan dan mempunyai sasaran siap mengikut jadual.
“Yang penting, kita bukan hanya berjanji tetapi projek sedang berjalan. Tiada projek air yang boleh siap dalam masa kurang setahun, namun kerja sedang dilaksanakan dan dijangka siap mengikut jadual,” tegasnya.





