
PAPAR – Sinergi strategik kerajaan dengan 10 Star Cinemas menerusi pelaburan melebihi RM100 juta menandakan komitmen baharu dalam memperkukuh agenda ekonomi kreatif negeri di bawah pelan hala tuju Sabah Maju Jaya.
Inisiatif berkenaan turut merangkumi pembukaan dua lagi pawagam di Kinarut dan Kundasang menjelang tahun 2026 dan 2027, selain enam pawagam di luar bandar yang telah pun beroperasi.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, pelaburan tersebut bukan sekadar usaha komersial semata-mata, sebaliknya memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan sosioekonomi rakyat.
“Pelaburan 10 Star Cinemas di Sabah bukan sekadar perniagaan berorientasikan komersial semata-mata, malah membantu pembangunan sosioekonomi rakyat.
“Selain menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, 10 Star Cinemas juga hadir sebagai rakan strategik membangunkan industri kreatif di Sabah,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties dan WK Konsortium di Palm Mall Kinarut, di sini pada Sabtu.
Armizan berkata, pelaburan tersebut merupakan inisiatif penting dalam merintis pembangunan industri kreatif di negeri ini dan memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta.
“Saya sendiri mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan 10 Star Cinemas dapat digerakkan dan didekatkan dengan Kerajaan Negeri.
“Dan yang paling penting, dalam manifesto GRS sendiri pun akan ada satu komponen pembangunan industri kreatif dalam manifesto tersebut.
“Jadi yang penting, akhirnya kita menang pilihan raya supaya kita dapat menggerakkan agenda ini sebagaimana yang akan terkandung dalam manifesto GRS kerana kita telah pun mempunyai pihak-pihak yang sedia ada dan berpengalaman untuk membantu,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaburan itu turut seiring dengan pelaksanaan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah (APFS) 2026/2027 yang memberi tumpuan kepada dua komponen utama pembangunan infrastruktur pawagam dan pembangunan bakat muda.
“Program Pembangunan Karya Muda merupakan program penggalakan kepada pengkarya muda untuk menghasilkan karya filem pendek.
“Melalui program ini, 10 Star Cinemas akan bekerjasama dengan rakan strategik DBAY Film Factory Sdn Bhd dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang layak,” katanya.
Menurutnya, dua produksi filem pendek telah dipilih untuk APFS 2026/2027 RIVY Production dengan karya filem pendek Bedilan dan Lapan Pagi Studio dengan karya Bas Malam.
“Kedua-dua syarikat produksi ini merupakan graduan muda dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan projek tersebut merupakan penerbitan pertama yang akan ditayangkan di pawagam.
“Apabila siap kelak, filem-filem pendek ini akan ditayangkan di semua rangkaian pawagam 10 Star Cinemas seluruh negara,” katanya.
Armizan menambah, pelaburan itu bukan sahaja mengukuhkan ekosistem industri kreatif di Sabah, malah memperlihatkan peranan aktif sektor swasta dalam menyokong agenda pembangunan bakat tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.





