
SRI AMAN – Program Village Transformation Programme (VTP) terus membuktikan peranannya dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program VTP merupakan inisiatif penting Kerajaan Sarawak untuk membantu penduduk luar bandar menimba ilmu serta kemahiran baharu bagi menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf hidup.
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk melaksanakan Program VTP. Sejak tahun 2022 hingga 2025, sebanyak 20 siri program telah dijalankan, melibatkan 1,015 peserta di seluruh negeri,” katanya semasa berucap di Majlis Penangguhan VTP Siri 4/2025 Bahagian Sri Aman dan Penutupan Program VTP Sarawak di bawah RMKe-12, di Hotel Seri Simanggang, pada Jumaat.
Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) itu turut menjelaskan bahawa program tersebut menawarkan tujuh kursus utama, antaranya Keselamatan Elektrik, Kulinari dan Pastri, Pembuatan Simen Ferro, Pembuatan Kerangka Aluminium, Tanaman Fertigasi dan Hidroponik, Jahitan serta Kraftangan.
“Melalui kursus-kursus ini, ramai peserta kini telah menjadi usahawan kecil yang aktif. Ada yang membuka kedai elektrik, menjalankan kerja pendawaian, menghasilkan kraftangan seperti manik dan skirt buri, malah ada yang menjual produk secara dalam talian,” jelasnya.
Rohani menambah, kejayaan peserta dalam bidang kulinari dan pastri juga amat membanggakan apabila ada yang kini membekalkan roti dan kuih-muih ke kedai serta bazar Ramadan.
“Ini membuktikan bahawa VTP bukan sekadar melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal, tetapi turut membantu melahirkan usahawan kecil dalam bidang makanan, tekstil dan kraftangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kejayaan ini menjadi bukti keberkesanan program VTP sebagai agen perubahan sosial, yang bukan sahaja menambah pendapatan peserta, malah menjadikan mereka lebih berdikari dan berdaya tahan selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Strategik Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Bagi program kali ini, seramai 51 peserta dari daerah Sri Aman, Lubok Antu, Lingga dan Pantu telah mengikuti tiga kursus utama iaitu Tanaman Fertigasi dan Hidroponik, Kraftangan Manik dan Skirt Buri serta Kulinari dan Pastri.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) selaku urus setia, Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) sebagai agensi pelaksana serta Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan pegawai-pegawai daerah atas sokongan mereka dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pengarah SIMU, Sapiah Daud dan Timbalan Pengarah CENTEXS, Dr. Nadianatra binti Musa.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




