
PUTRAJAYA – Agenda reformasi Malaysia Madani yang mengimbangi sokongan jangka pendek dengan kemampanan jangka panjang berupaya memperkukuh daya tahan ekonomi negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta membuka peluang pertumbuhan baharu kepada sektor perbankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pendekatan itu berteraskan prinsip tanggungjawab fiskal dan kemakmuran bersama, dengan tumpuan bukan sahaja kepada peningkatan daya saing negara, malah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.
Menurut beliau, agenda berkenaan merangkumi usaha meningkatkan daya saing Malaysia, menarik pelaburan berkualiti, merangsang inovasi dan mempercepat peralihan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Novan memaklumkan, usaha konsolidasi fiskal pula dilaksanakan menerusi rasionalisasi subsidi secara bersasar, peluasan asas hasil negara yang lebih progresif, penambahbaikan tadbir urus serta pengurangan ketirisan.
Katanya, langkah itu disertai pengukuhan bantuan sosial bagi membantu isi rumah rentan menghadapi tekanan kos sara hidup, sekali gus mengimbangi keperluan memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan dengan perlindungan kebajikan rakyat.
“Pada masa sama, reformasi turut memberi penekanan kepada peningkatan peluang pekerjaan, pengukuhan perlindungan sosial dan penambahbaikan taraf hidup rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat yang lebih menyeluruh.
“Reformasi berkenaan turut merangkumi aspek kecukupan simpanan persaraan, perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti bagi menyediakan asas lebih kukuh kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Novan berkata, bagi sektor perbankan, pelaksanaan reformasi itu berpotensi mewujudkan persekitaran makroekonomi yang lebih stabil, memperkukuh keyakinan pelabur dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Persekitaran ekonomi yang lebih stabil juga menyediakan ruang kepada institusi kewangan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menggerakkan modal ke sektor strategik, termasuk peningkatan keupayaan industri, pembangunan infrastruktur, peralihan tenaga, inovasi dan keterangkuman kewangan.
“Pembiayaan kepada sektor berkenaan penting bagi menyokong usaha meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing perniagaan serta mempercepat peralihan ekonomi kepada aktiviti yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.
“Justeru, peranan institusi perbankan bukan sekadar sebagai penerima manfaat daripada reformasi ekonomi, sebaliknya turut menjadi rakan strategik dalam menyokong pertumbuhan mampan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan merealisasikan aspirasi kemakmuran bersama,” katanya.






