
KOTA KINABALU – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan Sarawak-Sabah Link Road 1 disasarkan siap menjelang akhir 2027, dengan kerajaan meneruskan peruntukan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disediakan menerusi Belanjawan MADANI 2027 bagi meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur jalan raya di kedua-dua negeri.
“Projek jalan raya di Sabah dan Sarawak diteruskan peruntukan 2027 berjumlah 3.3 bilion ringgit,” katanya semasa membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Menurutnya, projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Pan Borneo Sabah Fasa 1B disasarkan siap pada penghujung tahun depan.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan turut menyediakan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak.
Manakala, bagi projek Lebuhraya Trans Borneo pula, Surat Setuju Terima (SST) bagi seksyen Miri sudah dikeluarkan, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menerima SST menjelang akhir tahun ini.
Tambahnya, peruntukan pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya berkenaan melibatkan Sabah dan Sarawak secara bersama.
Belanjawan MADANI 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan berteraskan lapan lunas utama, termasuk mengutamakan pembangunan semua negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.






