
MIRI – Acara ragbi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang selesai pada 22 Ogos lalu merupakan kenangan terindah buat pasukan sukarelawan.
Pelajar lepasan SPM, Ainatul Mardhiyah, 18, berkongsi penyertaannya dalam kesukarelawan adalah yang pertama dan baru baginya.
‘Ini kali pertama saya menyertai sukarelawan dan agak takut pada awalnya,” kata pelajar yang berasal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri.
Ujar Ainatul, dengan sokongan daripada sukarelawan lain dan pegawai teknikal, dia dapat mempelajar kemahiran baru seperti kemahiran komunikasi dan merasai kemeriahan acara ini.
“Sokongan daripada mereka dapat membantu saya menyesuaikan keadaan dan mempelajari perkara baharu,” kata Ainatul lagi.
Beatrice dan Bato, 20, merupakan pelajar lepasan STPM dan masing-masing berasal dari Niah dan Bakam, Miri turut berkongsi keterujaan mereka sebagai sukarelawan.
‘Kami sangat teruja kerana berpeluang menjadi sukarelawan dalam acara sukan ragbi SUKMA pada kali ini.
Kata mereka, melalui kesukarelawan ini, mereka berkesempatan mempelajari kemahiran baharu dan tatacara acara yang dipertandingkan.
Bagi Beatrice, tugasnya di bahagian ‘scoring’ memerlukan ketelitian dan fokus sepanjang acara dipertandingan.
‘Saya ditugaskan di bahagian ‘scoring’. Dalam tugasan ini, saya dibantu oleh pegawai teknikal. Melalui bimbingan mereka, saya dapat mengetahui corak permainan serta tatacara ragbi.
Sementara itu, Bato berkongsi pengalaman bertugas sebagai ‘ball picker’ dan ‘runner’ merupakan tugas yang berbeza namun memerlukan ketepatan masa.
‘Sebagai ‘ball picker’ dan ‘runner’, saya anggap sebagai cabaran baharu kerana ia memerlukan ketepatan masa.
“Namun kerjasama daripada semua pihak, saya dapat melaksanakan tugas dengan baik’.
Turut berkongsi perasaan, Gabriel, 21, penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri menggunakan kesempatan cuti semesternya untuk menyertai sukarelawan ini.
‘Cuti semester kali ini saya tidak pulang ke kampung halaman di Mukah. Oleh itu, saya sertai sukarelawan bagi acara karate dan ragbi SUKMA untuk mengisi masa cuti,” kata Gabriel.
Selain itu, Ruzaini, 27, seorang pekerja e-hailing Grab bukan menjadi penghalangan untuk sertai sukarelawan.
‘Sebagai pekerja e-hailing Grab, bukan menjadi penghalang kepada saya untuk menyertai sukarelawan.
“Ketika ditugaskan sebagai sukarelawan acara ragbi SUKMA kali ini, saya merasa sangat teruja kerana berpeluang bertugas dengan pegawai teknikal yang juga kebanyakan ahli ragbi Malaysia.
Tambahnya lagi, peluang sukarelawan memberi pendedahan yang lebih dalam berkenaan sukan ragbi.
“Penyertaan saya sebagai sukarelawan untuk acara ragbi SUKMA adalah kenangan yang tidak akan kami lupakan.
“Bagi saya, penyertaan sebagai sukarelawan antara kenangan yang terindah buat kami. Diharap lebih ramai generasi muda terlibat dengan kesukarelawan terutama acara sukan ragbi,” katanya lagi.






