
KUALA LUMPUR – Wisma Putra kini memantau perkembangan terkini sembilan sukarelawan Malaysia daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel ketika mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza, pada Rabu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Wisma Putra bersedia mengambil langkah diplomatik sewajarnya termasuk menggunakan saluran hubungan dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Insya-Allah, pihak Wisma Putra mengikuti isu ini dan bersedia mengambil tindakan yang perlu termasuk melalui diplomasi peringkat tertinggi dan hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama, pada Rabu.

Fahmi berkata, pihaknya masih menunggu laporan lanjut mengenai nasib kesemua sukarelawan terbabit, namun menjangkakan menerima maklum balas lebih jelas menjelang program Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena malam ini.
MyCARE hari ini memaklumkan sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan sukarelawan negara dipintas oleh tentera Israel pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis ialah pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Mereka yang ditahan ini mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Sebelum ini, gelombang pertama flotila pada Jun lalu menyaksikan aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg bersama 11 yang lain ditahan Israel ketika menaiki kapal bantuan Madleen ke Gaza.
Ia disusuli dengan gelombang kedua hasil inisiatif antarabangsa Global Sumud Flotilla dan kesemua mereka turut ditahan oleh tentera Israel dan kini sudah dibebaskan.








