KUALA LUMPUR – Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam misi Global Sumud Flotilla (GFS) akan dibebaskan.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang berkata, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah memberi jaminan bahawa kesemua aktivis Malaysia akan dibebaskan sekali gus dibawa pulang dengan selamat.
Jelasnya, jaminan itu diberikan semasa pertemuan dengan wakil Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
“Alhamdulillah mereka telah menerima memorandum kita. Semalam kita rancang untuk hantar memorandum tapi telah disekat.
“Pihak Kedutaan AS telah beri jaminan bahawa seluruh warga Malaysia yang kini sedang ditahan Israel akan pulang ke negara kita dengan kadar segera dan keselamatan akan diberikan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada himpunan anti-Israel berhampiran Kedutaan AS di sini, hari ini.
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan tentera Israel.
Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pasukan perundangan Malaysia di Jordan berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses soal siasat serta tindakan susulan berkaitan.
Semalam, Kamil gagal untuk menyerahkan memorandum selepas pihak Kedutaan AS enggan keluar menerimanya atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun pihak kedutaan kemudiannya menghubungi Kamil bagi menyatakan kesediaan untuk menerima memorandum berkenaan.








