
PUTRAJAYA – Kerajaan sudah melaksanakan rundingan diplomatik secara maksimum bagi proses membebaskan 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya, pagi tadi.
“Saya dihubungi Perdana Menteri, awal pagi tadi jam 8.10 pagi. Negosiasi diplomatik beliau dengan negara besar seperti Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), Qatar dan menghubungi Setiausaha AS (Marco Rubio) sudah dibuat.
“Perkara itu sedang digerakkan maksimum untuk delegasi Malaysia dibebaskan,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel.
Pada masa sama, Sani memaklumkan, Perdana Menteri selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara turut bertanya khabar berkenaan keadaan keluarga delegasi dan kesihatan mereka.
“Perdana Menteri juga mohon sampaikan salam dan memberi sepenuh jaminan bahawa beliau sendiri melihat dan kerajaan Malaysia sedang laksana sehabis usaha untuk membebaskan semua delegasi kita.
“Mohon semua pendukung misi dan Gaza sama-sama kita mendoakan serta solat hajat supaya Allah mudahkan urusan ini,” katanya.





