
PUTRAJAYA – Tindakan Israel menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) berjaya membuka mata dunia dalam memberi isyarat kepada seluruh dunia bahawa rejim Israel sanggup mengenepikan norma antarabangsa demi kepentingan politik zionis.
Penganalisis hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, penahanan secara ‘zalim’ telah mewujudkan persektif negatif terhadap Israel, walaupun zionis mendakwa kononnya misi kemanusiaan itu diketuai oleh Hamas.
Beliau menegaskan, kesedaran antarabangsa kini jelas beralih apabila negara yang sebelum ini dilihat lebih rapat dengan Israel semakin lantang menyokong usaha menjadikan Palestin negara merdeka dan berdaulat, sekali gus menuntut Zionis menghentikan kezaliman.
“Penahanan sukarelawan Malaysia oleh tentera Israel menimbulkan persoalan besar dari sudut undang-undang antarabangsa dan keselamatan. Sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan adalah dilindungi di bawah prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Oleh itu, penahanan mereka tanpa asas yang jelas boleh dianggap sebagai tindakan sewenang-wenangnya. Jika ia berlaku di perairan antarabangsa, ia turut mencabuli undang-undang laut antarabangsa kerana misi kemanusiaan bukanlah ancaman ketenteraan ,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin yakin Malaysia mempunyai ruang untuk memperkukuh tekanan diplomatik melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta kerjasama dengan negara sahabat seperti Turkiye, Qatar, dan Mesir bagi menuntut pembebasan segera sukarelawan.
Beliau berpendapat, dunia tidak boleh bersikap membisu agar Israel tidak boleh terus bertindak sewenang-wenangnya sehingga aktivitis yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa turut menjadi mangsa Zionis Israel.
“Dari sudut keselamatan, tindakan Israel mewujudkan precedent berbahaya terhadap masa depan misi kemanusiaan global. Jika sukarelawan terus dijadikan sasaran, ia akan melemahkan prinsip neutraliti bantuan kemanusiaan dan menjejaskan usaha antarabangsa dalam melindungi mangsa konflik.
“Saya melihat insiden ini bukan sekadar soal penahanan rakyat Malaysia, tetapi sebagai bukti jelas bahawa perjuangan membela Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat. Penahanan sukarelawan Malaysia oleh tentera Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tindakan Israel juga mencerminkan keangkuhan rejim itu yang tidak menghormati misi kemanusiaan. Israel tidak boleh terus bertindak sewenang-wenangnya. Setiap nyawa, setiap sukarelawan, dan setiap rakyat Palestin mesti dilindungi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis geopolitik, Ayman Rashdan Wong berkata, meskipun Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan cuma boleh bergantung harap pada negara Arab lain yang mempunyai kaitan seperti Turkiye, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain.

“Masalahnya, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita tak anggap dia negara, begitu jua sebaliknya. Jadi, memang tak ada ruang nak bercakap dan itu juga buat risiko rakyat kita lebih tinggi kalau ditahan.
“Dalam keadaan ni, kita cuma boleh berharap pada negara Arab atau Islam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel seperti Turkiye, Mesir, Jordan, UAE dan Bahrain. Arab Saudi serta Qatar ada hubungan tak rasmi, tetapi tetap signifikan dengan Israel.
“Maghribi, Sudan, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan ada hubungan rasmi, Malaysia boleh abaikan sebab kita tak rapat sangat dengan mereka. Kesemua negara ini memang kita kecam selalu. Tetapi disebabkan ada hubungan diplomasi, mereka ada saluran untuk bercakap dengan Israel,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayman menambah, walaupun Israel tidak semestinya tunduk dengan kaedah diplomasi, ada kepentingan bersama yang boleh dijadikan bahan tawar-menawar.
“Eropah pun ada hubungan diplomasi dengan Israel tapi selepas banyak negara iktiraf Palestin kebelakangan ini, Israel dah ‘bengang’ dengan Eropah dan mungkin buat tak peduli.
“Yang paling penting, Amerika Syarikat (AS). Presiden AS, Donald Trump sahaja ada pengaruh untuk pujuk Israel lakukan perkara yang luar dari kebiasaan. Namun, itu belum pasti sebab AS-Israel ini hubungan simbiotik.
“Kalau Malaysia minta tolong Trump, mesti dia minta sesuatu sebagai balasan dan tak pasal-pasal kita kena ‘pegang’. Apa pun, jangan dipolitikkan krisis ini. Insya-Allah, semuanya akan selamat dan balik ke tanah air,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai GSF pada Khamis berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Wisma Putra menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.
Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 23 rakyat Malaysia, yang ditahan Israel pada 2 Oktobee.

