
PUTRAJAYA – Aktivis kemanusiaan Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau dikenali Nadir Al-Nuri mengesahkan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) yang ditahan tentera Israel mula tiba di pelabuhan Ashdod, Israel, petang semalam.
Beliau yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, barisan peguam GSF sudah menghubungi mereka untuk memberikan khidmat guaman.
“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod.
“Peguam GSF mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman.
“Paling awal, esok pagi (pagi ini) kami akan kongsikan perkembangan mereka. Sementara itu, teruskan aksi!” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Nadir bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia masih berada di Laut Mediterranian dalam Jong Melayu yang berperanan sebagai kapal pemerhati.
Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel berada dalam keadaan selamat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Mereka ialah Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma).
Turut serta, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius), Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat dan Norhelmi Ab Ghani.
Selain itu, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
Sementara itu, lima peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam konvoi GSF yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan secara telus dan adil.
Mereka ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Pasukan guaman itu akan mewakili delegasi Malaysia yang ditahan sekali gus berurusan dengan para peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) yang berpangkalan di Israel selain bekerjasama dengan peguam antarabangsa bagi proses perundangan berkaitan.




