
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbukti memainkan peranan penting sebagai benteng utama negara dalam usaha memastikan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti sejak penubuhannya pada 1967.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kejayaan yang dicapai SPRM tidak hanya terletak pada siasatan dan pendakwaan, tetapi juga melalui usaha pendidikan, pencegahan serta kerjasama erat dengan masyarakat sivil.
“MCW percaya bahawa dalam mendepani cabaran baharu seperti rasuah rentas sempadan, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa dalam era digital, SPRM perlu terus memperkukuh strategi bersepadu dengan menekankan aspek teknologi, kolaborasi antarabangsa serta penglibatan komuniti akar umbi.
“Kita turut menyeru agar kerjasama di antara SPRM, NGO, media, sektor swasta dan generasi muda diperkukuhkan.
“Hanya melalui pendekatan bersama barulah budaya integriti dapat dijadikan teras dalam masyarakat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Dalam pada itu, Jais berkata pihaknya menyakini dengan keazaman berterusan SPRM serta sokongan masyarakat awam, negara mampu bergerak ke arah Malaysia Madani yang benar-benar bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Sempena ulang tahun SPRM ke-58 ini, MCW menegaskan komitmen kami untuk terus menjadi rakan strategik bebas kepada SPRM dalam menjayakan agenda Malaysia bebas daripada rasuah.
“MCW juga akan terus melaksanakan program-program pendidikan masyarakat, membangunkan kepimpinan muda berintegriti serta menyalurkan pandangan kritis bagi memperkukuh dasar dan pelaksanaan antirasuah di negara ini,” katanya
Memasuki usia 58 tahun penubuhannya pada Rabu, SPRM terus berkembang sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam memerangi rasuah.
Bermula sebagai sebuah badan yang lebih memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang, SPRM kemudiannya beradaptasi dan turut melibatkan aspek pencegahan dan pendidikan antirasuah di semua peringkat masyarakat.
Agensi penguat kuasa kini terus berkembang seiring dengan transformasi dunia digital dan teknologi khususnya kepesatan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan jenayah rasuah semakin kompleks dan lebih mencabar.
Sehubungan itu, seperti yang dijelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, agensi tersebut tidak boleh terus berada di takuk lama, sebaliknya memerlukan kaedah dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan tuntutan zaman masa kini.
Menurutnya, dalam merealisasikan perkara itu, pelbagai langkah telah diambil sama ada dari aspek pencegahan; pendidikan dan kesedaran berkenaan jenayah rasuah.
Sebagai contoh, katanya, SPRM kini lebih mendekati masyarakat menerusi platform-platform media sosial sama ada dalam pelaporan jenayah atau penyampaian dasar serta polisi yang sedang dilaksananakan agensi terbabit.



