MALAYSIA akan meneliti cadangan pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam usaha menamatkan konflik berpanjangan di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa negara Arab turut berpandangan bahawa tujuan utama pelan berkenaan adalah menghentikan keganasan dan menjamin kemerdekaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Kalau ada penyelesaian yang agak berkesan, walaupun tidak sepenuhnya memuaskan kita, tetapi yang kita minta yang awal sekali hentikan serangan ganas ke atas Gaza-Palestin.
“Jamin kemerdekaan mereka sebagai negara yang berdaulat, kemudian segerakan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Palestin, khususnya Gaza,” katanya pada sidang media di MAPIM Malaysia Central Warehouse, di Sepang, hari ini.
Menurut Anwar, cadangan itu boleh menjadi permulaan bermakna sekiranya benar-benar mampu menjamin kemerdekaan Palestin dan menghentikan kekejaman di Gaza.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pendirian rasmi terhadap pelan tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara yang menyuarakan sokongan kepada Palestin, antaranya Itali, Sepanyol, Turkiye dan China.
Katanya, pertemuan bersama Presiden AS ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bulan depan dijangka menjadi kemuncak kepada usaha mencari formula kedamaian.
“Ini bagi saya mengapa kita katakan hubungan dengan negara-negara Barat dan juga Arab termasuk Amerika Syarikat penting.
“Rakyat kita yang di medan juang, tak sama dengan celoteh-celoteh kita di sini. Orang di medan juang erti dan faham apa makna rundingan dan gesaan sebagai pemimpin dunia khususnya AS,” katanya.
Terdahulu, Anwar sempat mengadakan telesidang bersama sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) kira-kira jam 6 petang dan memberi jaminan kebajikan ahli keluarga sukarelawan akan dijaga sepanjang misi tersebut.
Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada sukarelawan yang terbabit serta menegaskan Malaysia akan melancarkan bantahan sekeras-kerasnya sekiranya armada GSF diserang sepanjang misi berkenaan.







