SEKALI lagi, wajah sebenar Kerajaan Negeri Terengganu terserlah. Tatkala rakyat memerlukan perhatian, mereka sibuk menggadai naratif kononnya menjaga kepentingan tanah, tetapi hakikatnya merekalah yang gagal mengurus dan mengawal tanah rakyat dengan telus.
Tanah di Pulau Warisan adalah milik lembaga kerajaan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat. Namun apa berlaku? Pada tahun 2021, tanah ini dipajakkan 30 tahun kepada syarikat swasta, ELCCA Properties Sdn Bhd.
Perkara ini berlaku di bawah pengetahuan Kerajaan Negeri, malah mereka membisu tanpa sebarang penjelasan terbuka kepada rakyat. Mengapa mereka diam? Kerana mereka tahu, inilah bukti kepincangan tadbir urus tanah negeri.
Lebih parah, isu penjaja kecil dijadikan kambing hitam. Penjaja asal ditekan dengan alasan pembangunan, sedangkan Kerajaan Negeri gagal tampil mempertahankan mereka.
Apa gunanya melaung slogan membela rakyat jika hakikatnya penjaja kecil terpaksa berunding sendiri dengan syarikat swasta tanpa sokongan penuh Kerajaan Negeri?
Dan hari ini, isu pemasangan palang di Pulau Warisan pula muncul. Kononnya palang itu untuk menghalang kenderaan komersial tidak sah, tetapi rakyat melihatnya sebagai simbol penguasaan swasta di tanah awam. Di manakah Kerajaan Negeri? Sekadar jadi penonton, menyerahkan segala-galanya kepada syarikat.
Kerajaan Negeri boleh cuba berdalih, tetapi fakta tidak dapat disangkal: tanah ini tetap milik kerajaan dan hanya dipajakkan. Tetapi mengapa Kerajaan Negeri gagal mendahulukan kepentingan rakyat dalam rundingan? Mengapa mereka biarkan syarikat swasta lebih berkuasa menentukan masa depan Pulau Warisan berbanding suara rakyat sendiri?
Jangan salahkan rakyat jika mula hilang kepercayaan. Kerajaan Negeri gagal menjadi penjaga tanah rakyat. Mereka hanya pandai berpolitik di pentas ceramah, tetapi realitinya, mereka menyerahkan tanah strategik kepada swasta untuk 30 tahun. Itu bukan pembelaan rakyat, itu adalah pengkhianatan senyap.
Pulau Warisan kini jadi simbol jelas, apabila Kerajaan Negeri diberi amanah, tanah rakyat tergadai dalam pajakan panjang, penjaja kecil terpinggir, dan syarikat swasta menguasai. Inilah bukti nyata kegagalan mereka, dan rakyat berhak menuntut jawapan.





