
KABONG – Usaha berterusan membanteras wabak denggi di Sarawak semakin membuahkan hasil apabila kes demam denggi bagi tempoh Januari hingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini mencatatkan penurunan 63.54 peratus, iaitu hanya 548 kes berbanding 1,503 kes pada tahun lalu.
Perkembangan positif itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, ketika merasmikan Majlis Perasmian Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Kabong pada Ahad.
Menurut Mohd Chee, Betong turut menunjukkan penurunan ketara sebanyak 66.12 peratus, dengan hanya 24 kes dilaporkan berbanding 71 kes pada tahun 2024.
“Kejayaan ini wajar kita syukuri, namun masyarakat tidak boleh leka. Ancaman denggi masih menjejaskan golongan produktif dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat. Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan usaha ini berterusan,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ketua masyarakat, Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT), masjid dan surau agar terus memainkan peranan dalam kempen kebersihan.
Dalam pada itu, beliau menyarankan pelaksanaan program “1 Hour Malaysia Clean Up” setiap bulan serta kempen “Cari dan Musnah” selama 10 minit setiap minggu di kediaman masing-masing sebagai langkah mudah tetapi berkesan membanteras pembiakan nyamuk Aedes.
“Dengan kerjasama menyeluruh, kita mampu mencapai matlamat Sarawak Bebas Denggi,” tambah beliau.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Radin Mohd Nurrahman Radin Dorani ; Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Mohamad Norhaizam Ahmad@Narawi; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee; serta Pegawai Kesihatan Daerah Saratok, Dr Abdul Mualim Shah Abdul Rani.

Foto: Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong





