PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mendapat kejutan apabila menjadi jurulatih Liga Super pertama yang ‘direhatkan’ musim ini.
Perkembangan itu disahkan pasukan ‘The Red Giants’ menerusi satu kenyataan – tiga hari selepas pasukan itu meraih kemenangan 4-2 ke atas Tampines Rovers – bagi aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Rabu lalu.
“Selangor FC dengan ini mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi direhatkan daripada tugas sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada beliau atas segala sumbangan, usaha dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama SFC,” kata pasukan itu, lapor Berita Harian.
Bagi memastikan kesinambungan pasukan, tanggungjawab ketua jurulatih digalas secara interim oleh Christophe Gamel, sementara proses pencarian jurulatih tetap dilakukan.
Kinoshi mula mengendalikan Selangor FC sejak pertengahan musim lalu bagi menggantikan Nidzam Jamil yang melepaskan jawatan pada 30 Oktober 2024.
Bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu menamatkan kemarau trofi selama sedekad apabila Selangor FC menjulang Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia musim lalu.






