PEKAN – Inisiatif Enggang (Pekan) Sdn Bhd (Enggang) memulihara kawasan hutan gambut di sekitar daerah Pekan dan Rompin menerusi Projek Pemulihan Tanah Gambut Pahang (PPRP) mendapat sokongan banyak pihak.
Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Enggang menjayakan program penanaman pokok hutan paya gambut pada 20 Oktober lalu.
Program itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai usaha menanam pokok hutan paya gambut terbesar di Malaysia.
Pengiktirafan terhadap kerjasama strategik itu diterima Ketua Projek PPRP, Dr Jane Koh pada majlis Sambutan Hari Hutan Sedunia di Dataran Pekan.
Penyampaian sijil itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Dr Jane berkata, penanaman 20,000 pokok hutan paya gambut terbabit berjaya dilaksanakan hasil kerjasama rapat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
“Ia bukan hanya simbolik, tapi praktikal dalam usaha memulihkan ekosistem gambut yang terjejas akibat kebakaran besar awal tahun ini,” katanya.
“Menanam hanyalah langkah pertama dan cabaran sebenar adalah memastikan pokok terus hidup dan membesar,” tambah Dr Jane.
Beliau menjelaskan pihak PPRP komited menjaga anak pokok ditanam itu bagi tempoh dua tahun akan datang dan seterusnya menjadikan kawasan berkenaan sebagai hutan semula jadi berdaya tahan.
“Sejak 2023, pihak Enggang menerusi program PPRP giat melakukan kerja pemulihan, termasuk (pemulihan) hidrologi bagi mengekalkan kelembaban tanah gambut serta flora dan fauna setempat.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memastikan risiko kebakaran di kawasan paya gambut dapat dipantau dengan lebih cermat,” katanya.
Program PPRP membabitkan kawasan seluas 96,569 hektar tanah gambut, merangkumi 16 kawasan penempatan Orang Asli.
“Untuk tempoh 59 tahun akan datang, kita berharap PPRP mampu mengelakkan pelepasan 174 juta tan karbon dioksida ke atmosfera, seterusnya menyerap (tambahan) 11.8 juta tan karbon dioksida menerusi proses pemulihan hutan ini,” ujarnya.







