
KUCHING – Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Selasa.
Lawatan bermula 2.15 petang itu bertujuan meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta memperkukuh semangat kerja berpasukan warga polis di daerah ini.
Kehadiran beliau disifatkan istimewa kerana ia berlangsung beberapa hari sebelum beliau menamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui persaraan wajib pada 29 September ini.
Lawatan tersebut sekali gus memberi peluang kepada warga IPD Kuching untuk bersama-sama meraikan kepemimpinan beliau yang banyak berjasa sepanjang lebih tiga dekad dalam pasukan polis.
Mancha merupakan anak jati Asajaya, Samarahan dan juga anak Dayak pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada November 2023 selepas menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dari 2021 hingga 2023.
Sepanjang perkhidmatan cemerlangnya, beliau pernah berkhidmat hampir 30 tahun di Perak, kemudian di Sabah sebagai Timbalan Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA), sebelum kembali ke Sarawak memegang jawatan penting termasuk Komander Briged PGA.
Pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak bukan sahaja mengangkat nama komuniti Dayak, malah membuktikan kepemimpinan inklusif dalam PDRM yang terus komited menjaga keselamatan rakyat.







