
SANDAKAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan latihan penerbangan taktikal pada altitud rendah di ruang udara sekitar kawasan Op Pasir, Sandakan bermula 29 September hingga 3 Oktober ini.
Menurut kenyataan TUDM pada Selasa, latihan berkenaan adalah sebahagian daripada Search and Rescue Exercise Air Region 2 Tahun 2025 (SAREX AR 2/25).
“Latihan ini bertujuan menguji tahap keupayaan Military Rescue Sub Centre East (Mil-RSC East) di Markas Wilayah Udara 2 dalam melaksanakan koordinasi operasi mencari dan menyelamat (carilamat) secara bersepadu bersama tentera serta agensi awam di Pantai Timur Sabah.
“Selain itu, ia juga penting untuk mengekalkan kompetensi dan kemahiran pegawai serta anggota khususnya dari aspek perancangan, koordinasi dan pelaksanaan misi carilamat,” jelas kenyataan itu.
Sepanjang tempoh latihan, pesawat-pesawat TUDM akan melakukan penerbangan taktikal pada altitud rendah selain terdapat pergerakan aset maritim milik agensi penguat kuasa yang terlibat di kawasan latihan yang telah digazetkan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau kehadiran aset pertahanan di sekitar kawasan latihan.






