
PUTRAJAYA – Dakwaan kononnya Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas disifatkan sebagai percaturan dalam melemahkan kredibiliti dan mengurangkan pengaruh negara dalam memperjuangkan isu Palestin.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan geopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, tuduhan itu bukan semata-mata menyentuh isu keselamatan, namun bermotifkan politik antarabangsa serta tekanan domestik yang hadir dari Washington.
Beliau berpandangan, isu tersebut ditimbulkan susulan Malaysia kekal konsisten menyokong perjuangan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pelbagai forum di pentas antarabangsa.
“Tuduhan itu juga ada kaitan dengan politik domestik Amerika Syarikat (AS). Tekanan lobi pro-Israel di Washington sangat kuat, dan menjelang pilihan raya, pemimpin AS mahu dilihat keras terhadap Hamas.
“Malaysia, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan lantang menolak dasar Zionis, menjadi sasaran mudah untuk dipalit imej negatif tanpa bukti kukuh,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Nur Ashikin ditanya berkenaan dakwaan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer kononnya Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Dalam satu hantaran di platform X, Schanzer turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan Schanzer tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, dakwaan itu juga membuka ruang kepada AS menggunakan diplomasi tekanan terhadap negara dengan mendesak kawalan lebih ketat ke atas badan bukan kerajaan (NGO), aliran dana dan komuniti Palestin di Malaysia.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan Turkiye dan Qatar yang jauh lebih rapat dengan Hamas, tetapi tidak ditekan kerana mempunyai kepentingan strategik besar kepada AS dari sudut geopolitik, tenaga dan ketenteraan.
“Malaysia tidak berada pada kedudukan itu, menjadikannya sasaran yang lebih mudah. Hakikatnya, tuduhan ini bukan soal keselamatan semata-mata, tetapi sebahagian daripada percaturan geopolitik.
“Malaysia diprovokasi kerana keberaniannya mengekalkan pendirian pro-Palestin. Cabaran kini ialah menepis tuduhan dengan fakta dan memastikan pendirian kemanusiaan tidak dimanipulasi menjadi naratif keselamatan oleh kuasa besar,” katanya.
Sementara itu, menjawab tuduhan AS terhadap Malaysia kononnya gagal tangani isu pemerdagangan manusia, Nur Ashikin berpendapat, perkara terbabit hanyalah provokasi geopolitik selain negara memiliki kedudukan strategik di rantau Indo Pasifik dan mengekalkan dasar berkecuali yang seimbang antara Barat serta Timur.
Menurut beliau, tuduhan Washington juga tidak selari dengan realiti sebenar di Malaysia berikutan kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan dengan memperkasakan perundangan, memperhebat operasi maritim serta mempertingkatkan perlindungan buat pekerja migran.
“Inilah yang tidak digemari Amerika Syarikat. Tuduhan berat sebelah itu adalah sebahagian daripada strategi kuasa besar untuk menekan Malaysia supaya tunduk pada agenda geopolitik mereka.
“Dari perspektif keselamatan, Malaysia terbukti komited mengekang jenayah rentas sempadan. Kawalan perairan, pengurusan pekerja asing, dan kerjasama dengan ASEAN sentiasa diperkasa. Namun, Washington lebih gemar menutup mata terhadap usaha ini.
“Sebaliknya, Malaysia dijadikan kambing hitam agar Amerika Syarikat boleh mengukuhkan lagi pengaruhnya di rantau ini atas nama hak asasi manusia dan keselamatan maritim,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Ashikin berkata, pelbagai pihak perlu bersama dalam mencari penyelesaian holisitik untuk tidak membiarkan naratif mahupun tuduhan palsu itu menguasai wacana antarabangsa.
“Dunia harus tahu Malaysia bukan seperti yang digambarkan oleh Amerika Syarikat. Tuduhan sedemikian lebih bersifat politik berbanding fakta. Jika Washington benar prihatin, mereka seharusnya iktiraf usaha Malaysia, bukan menjatuhkan reputasi sebuah negara berdaulat yang berjuang demi kedaulatan, keselamatan, dan kesejahteraan rakyat,” katanya.






