
KOTA KINABALU – Segala bentuk bantuan yang disalurkan Kerajaan Sabah adalah hasil tanggungjawab terhadap mandat rakyat dan bukannya tindakan meniru dasar atau idea mana-mana pihak terdahulu, kata Ketua Pemuda Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan.
Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, tuduhan kononnya kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ‘mencuri’ dasar atau memberi bantuan semata-mata untuk tujuan publisiti menjelang pilihan raya adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Siapa cakap bila jadi kerajaan, kita bagi bantuan sebab tiru kerajaan lepas atau curi dasar orang?
“Kalau tidak ada modal untuk hentam dan hina, lebih baik diam daripada buat dosa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, Kerajaan Sabah sentiasa komited menyantuni rakyat sejak awal pentadbiran dan bukan hanya bertindak apabila musim pilihan raya semakin hampir.
“Jangan sembarangan menuduh semua usaha murni Kerajaan Negeri sebagai ‘gula-gula politik’ untuk pancing undi.
“Daripada hari-hari buat fitnah, lebih baik kita kerja sama-sama bantu rakyat yang sedang susah,” katanya.
Fairuz turut menekankan bahawa hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri adalah untuk menyampaikan segala inisiatif yang telah dirancang terutama dalam aspek pembangunan dan pendidikan anak negeri Sabah.
Beliau menyebut pelbagai skim dan tabung pendidikan yang diwujudkan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah serta bantuan lain seperti SUBFLY; BUDI; BAIK dan BISTARI sebagai bukti jelas komitmen kerajaan dalam membina modal insan negeri.
“Kita mahu anak-anak Sabah dapat sokongan dari sekolah sampai ke universiti.
“Ini bukti kita peka dengan keperluan rakyat, bukan sekadar retorik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fairuz turut mengingatkan masyarakat agar lebih beretika ketika menggunakan media sosial dan tidak menyalahgunakannya untuk menyebar kebencian atau memperlekeh usaha murni kerajaan.
Beliau turut menyeru agar semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik, bekerjasama dalam membantu rakyat terutamanya ketika negeri sedang diuji dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial.
“Kadang-kadang semua mahu jadi pakar di media sosial, tapi masih dangkal dan penuh emosi. Kita ada adab dan nilai murni yang harus dipegang,” ujarnya.





