TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 11,500 liter diesel menerusi Ops Tiris di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong, pada Jumaat.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu hasil risikan dan pemantauan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa KPDN Perak bagi membanteras penyelewengan serta ketirisan barang kawalan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 11,500 liter diesel disimpan dalam sebuah tangki skid.
“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia tapak pembinaan gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, susulan itu KPDN menyita 11,500 liter diesel bersama sebuah lori dan tangki skid dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM140,200.
Beliau menambah, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap sebuah syarikat pembekal yang disyaki beroperasi di Lembah Klang kerana gagal memastikan pembeli mempunyai kebenaran atau permit barang kawalan sebelum transaksi perdagangan minyak diesel dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan minyak diesel, iaitu barang kawalan berjadual, tanpa kebenaran bertulis Pengawal Bekalan,” ujarnya.





