
TOKYO – Lapangan terbang dan hotel di seluruh Jepun kini berdepan masalah lambakan bagasi yang ditinggalkan pelancong sehingga menjadi fenomena semakin meruncing sejak kebelakangan ini.
Kebanyakan pelancong dilaporkan membeli beg baharu untuk memuatkan cenderahati yang dibeli, sekali gus menyebabkan bagasi lama ditinggalkan di lapangan terbang atau hotel penginapan.
Beberapa kemudahan bagaimanapun menggunakan pendekatan baharu untuk menangani situasi itu termasuk memberikannya kepada orang ramai.
Inisiatif itu turut diambil oleh Hotel Niwa Tokyo menemui cara unik untuk menggunakan semula bagasi ditinggalkan di bilik tetamu iaitu menjadikan ia sebagai ‘pasu tanaman’ dan telah dilaksanakan bermula 2023.
Hotel berkenaan menanam sembilan jenis sayur-sayuran dan herba dengan mengisi beg pakaian dengan tanah, sebelum hasilnya digunakan sebagai bahan masakan untuk restoran di premis itu.
“Ia sangat kukuh hingga kami boleh tanam sayur. Kami mahu memperkenalkan cara ini untuk memanfaatkan beg pakaian terbiar,” kata staf hotel yang menguruskan projek berkenaan.
Sementara itu, beberapa kemudahan melaksanakan beberapa langkah bagi menghalang orang ramai meninggalkan bagasi mereka.

Sebagai contoh, Lapangan Terbang Chubu di wilayah Aichi pada Oktober 2024 memperkenalkan perkhidmatan yang mana beg pakaian tidak diperlukan boleh dikutip dengan bayaran 1,200 yen (RM34) sebuah.
Sementara itu, sebuah gudang milik Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di wilayah Chiba menjadi tempat simpanan kira-kira 60 bagasi yang tidak dituntut.
Sebahagiannya ditemui di sekitar lapangan terbang dan disimpan selama tiga bulan dalam senarai barang hilang sebelum dilupuskan jika tiada individu membuat tuntutan.
Pada tahun lalu, kira-kira 700 bagasi dihantar ke gudang dan 400 lagi dibawa hingga akhir Jun lalu yang mana hanya 10 peratus dituntut pemiliknya.
“Tindakan pelupusan juga menelan kos yang tinggi,” kata ketua bahagian perakaunan di balai polis tersebut.
Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian kerana syarikat penerbangan menetapkan had berat bagasi selain ada penumpang yang memerlukan beg dengan ruang lebih besar.







