Sanusi sindir Bersatu ‘mai syok saja, duit tak dak, jentera tak dak’

MUKTAMAR Pas ke-71 bukan sekadar medan laungan slogan, tetapi pentas terbuka mendedahkan retakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ucapan Pengarah Pilihan Raya Pas merangkap Naib Presiden, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sekali lagi mengesahkan apa yang rakyat sudah lama tahu: PN hanya gagah pada nama, tetapi rapuh pada hakikatnya.

Sanusi dengan sinis menempelak rakan sekutu PN khususnya Bersatu yang dianggap ‘mai bertanding syok saja’ tanpa jentera, tanpa kewangan, tetapi mahu jadi ketua.

Kata-kata beliau jelas menampar wajah parti komponen sendiri.

“Duit tak dak, jentera tak dak, tapi nak jadi ketua? Semua harap pada Pas.”

PAS terbeban, Bersatu menumpang

Sanusi mengaku Pas terpaksa menanggung kos besar pilihan raya sehingga RM1 juta bagi setiap Parlimen. Malah, cawangan Pas di Kedah sahaja diminta menyediakan RM120,000 bagi satu Unit Peti Undi (UPU).

Sementara itu, Bersatu dan Gerakan hanya mampu menumpang bumbung Pas tanpa sebarang kekuatan akar umbi yang nyata.

Inilah realiti PN, bukan gabungan mantap, tetapi sebuah pakatan longgar di mana Pas jadi tukang bayar dan tukang pikul, manakala Bersatu hanya jadi penumpang yang tidak tahu malu.

Kuasa: Pas lawan Bersatu

Kenyataan Sanusi tidak boleh dipandang ringan. Ia lahir hanya beberapa minggu selepas Bersatu secara sepihak menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri PN langkah yang menimbulkan ketidakpuasan hati Pas.

Hakikatnya, Pas kini memiliki jumlah Ahli Parlimen dan ADUN lebih besar, menguasai empat negeri PN, sedangkan Bersatu masih hidup bergantung pada nafas orang lain.

Retorik ‘Islam memimpin’ yang dijaja Pas semakin jelas: ia bukan sekadar slogan, tetapi amaran terbuka bahawa Pas mahu menguasai PN sepenuhnya, menolak Bersatu ke pinggiran.

Rakyat menyaksikan kepalsuan PN

Apa maknanya bila pemimpin kanan Pas sendiri mengaku mereka tidak cukup dana, tidak cukup jentera, dan dipaksa menanggung beban rakan sekutu? Jawapannya mudah: PN bukanlah pilihan yang stabil untuk rakyat Malaysia.

Jika dalam gabungan sendiri pun mereka bercakaran dan saling sindir, bagaimana mungkin PN mampu mentadbir negara dengan baik?

Apa jaminan bahawa rakyat tidak akan dijadikan mangsa kepada perebutan kuasa dalaman yang tidak berkesudahan?

Kerajaan MADANI lebih kukuh

Berbeza dengan PN yang retak menanti belah, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membuktikan kestabilan.

Pakatan Harapan, UMNO, GPS dan lain-lain komponen kerajaan duduk semeja membina dasar, bukan bercakaran tentang siapa lebih banyak sumbang duit dan siapa jadi ketua.

Rakyat tidak perlukan pakatan rapuh yang hanya tahu berselindung di sebalik retorik agama, tetapi hakikatnya Pas dan Bersatu hanyalah dua serigala lapar kuasa yang sedang berebut tulang.

Ucapan Sanusi adalah pengakuan terbuka bahawa PN retak dari dalam. Pas terbeban, Bersatu menumpang, dan rakyat jadi bahan eksperimen mereka.

Inilah wajah sebenar PN gabungan rapuh yang tidak layak diberi amanah untuk memimpin Malaysia.

Related Posts

Hutang Terengganu turun, tetapi siapa yang membayarnya?

KERAJAAN Negeri Terengganu wajar diberikan kredit apabila baki hutang awam negeri berjaya dikurangkan dengan ketara. Namun, apabila angka itu digunakan sebagai bukti bahawa hampir RM800 juta hutang berjaya “dilunaskan” semata-mata…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa erti kemerdekaan belum sempurna selagi undang-undang ‘warisan penjajah’ yang didakwa menyekat pelaksanaan Islam tidak dihapuskan. Naratif itu kuat kerana menggabungkan tiga perkara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan