Matrikulasi seharusnya ditambah, bukan dicadang mansuh – Pakar pendidikan

PUTRAJAYA – Cadangan untuk memansuhkan pengajian mat­rikulasi adalah tidak relevan susulan program tersebut mempunyai matlamat jelas dalam menyediakan laluan kepada pelajar, khususnya terhadap bidang sains dan profesional.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, selain mencipta manfaat kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ia membantu melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara.

Menurutnya, dasar pendidikan sedia ada tidak perlu dipolemikkan dengan cadangan yang mampu menimbulkan kegelisahan dan rasa tidak selesa kepada masyarakat.

“Setuju dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Tiada keperluan untuk mansuhkan sistem matrikulasi. Malah kita sepatutnya menambah bilangan matrikulasi untuk kebaikan semua anak-anak Malaysia.

“Program matrikulasi telah menjadi saluran penting membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar berpotensi dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar.

“Kualiti sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) juga sedang diperkasakan oleh kerajaan selain sudah pun ada kolej Tingkatan Enam. Kerajaan memberi perhatian yang penuh pada peringkat itu dan STPM,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anuar memaklumkan, kemiskinan sering men­jadi penghalang kepada pe­lajar luar bandar dan B40 untuk mengembangkan potensi mereka walaupun memiliki pencapaian akademik yang baik.

“Kadang-kadang anak-anak daripada keluarga miskin ini sebenarnya mempunyai peluang dan potensi tetapi disebabkan kemiskinan mereka tidak mendapat peluang yang baik.

“Matrikulasi diwujudkan ba­gi mengasah bakat pelajar berpotensi ini supaya mereka tidak tercicir. Kalau tiada matrikulasi, sukar untuk kita menumpukan bantuan kepada mereka yang datang daripada keluarga miskin dan tidak mampu,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berpandangan, sudah tiba masanya agenda pendidikan untuk membina bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dimulakan dengan usaha mewujudkan sekolah rendah dan menengah satu aliran untuk semua anak-anak di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan pengarah Institut pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM berkata, langkah itu perlu dimulakan dengan menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik dan memberi manfaat kepada semua murid di sekolah satu aliran.

“Mulakan sekolah satu aliran secara rintis. Sebagai sekolah projek rintis, sediakan peruntukan khas untuk tingkatkan kualiti sekolah satu aliran, sediakan guru-guru bahasa Mandarin dan Tamil untuk anak-anak semua kaum.

“Akhirnya, tawarkan murid di sekolah satu aliran yang mempunyai kelayakan dan paling cemerlang untuk sambung belajar di Sekolah Berasrama Penuh dan seterusnya Matrikulasi. Demi melahirkan satu bangsa Malaysia yang sebenar, kita harus berfikiran di luar kelaziman,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon senada menolak cadangan memansuhkan program matrikulasi susulan dengan jelas menafikan falsafah asal penubuhannya yang bertujuan membantu pelajar Bumiputera khususnya dari luar bandar dan kelompok B40.

Tegasnya, cadangan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze itu amat tidak wajar dan akan menjejaskan serta menghadkan peluang golongan sasaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal negara selain tidak selari dengan matlamat pembangunan pendidikan negara untuk jangka panjang.

“Matrikulasi dibangunkan adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak bumiputera luar bandar dan B40 yang kurang cemerlang dalam sains tulen serta perakaunan supaya mendapat intensif pembelajaran di peringkat asasi dan matrikulasi.

“Itu secara jelas sudah berbeza dengan falsafah STPM. Semua pihak perlu menghayati falsafah asal penubuhan matrikulasi iaitu membantu Bumiputera dan anak luar bandar untuk menguasai bidang sains, kejuruteraan, perubatan, teknologi dan perakaunan secara lebih baik serta holistik,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMANY, Tang Yi Ze menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).

Related Posts

Kurangkan beban pengamal media, sidang media mingguan dilaksana hibrid – Fahmi

GOMBAK – Sidang media mingguan Jurucakap Kerajaan Perpaduan akan dilaksanakan secara hibrid demi mengurangkan bebanan kepada pengamal media susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global kini. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bantuan asas, penempatan sementara segera dilaksana buat mangsa kebakaran Sandakan – PM

KERAJAAN Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16