CHELSEA terlepas peluang menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila gol penyamaan Fabio Carvalho pada minit ke-93 membantu Brentford seri 2-2 pada aksi musuh tetangga London barat awal pagi tadi.
Juara dunia itu terpaksa menanggung akibat susulan eksperimen Enzo Maresca membuat rombakan kesebelasan utama apabila Kevin Schade meledak gol pendahuluan Brentford pada separuh masa pertama.
Pemain gantian Cole Palmer memimpin kebangkitan Chelsea sekembalinya daripada kecederaan untuk menyamakan kedudukan sebelum rembatan padu Moises Caicedo seakan-akan menghadiahkan tiga mata penuh buat The Blues.
Namun ancaman berterusan Brentford menerusi lontaran jauh akhirnya membuahkan hasil di hujung permainan apabila Carvalho dibiarkan tidak dikawal untuk menampan masuk bola dari jarak dekat.
Chelsea kekal tanpa kalah musim ini tetapi hanya berada di tangga kelima, satu mata di belakang empat pasukan teratas – Arsenal, Tottenham, Bournemouth dan Liverpool.





