
KUCHING – Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 30-an ditemui meninggal dunia di sebuah kuarters pekerja di Lorong Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching pada Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai mangsa yang tidak sedarkan diri sekitar jam 8.15 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Padungan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki tersebut sudah tidak bernyawa. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Polis turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Ketua Polis Balai Padungan, Insp Goh Chen Hong di talian 014-9007007 atau Balai Polis Padungan di 082-233072, selain boleh hadir ke balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.


