
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan seorang diplomat politik ulung apabila berjaya menjadi jambatan dalam menyakinkan parti-parti komponen Kerajaan MADANI, menyokong pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, kredibiliti yang dimiliki Anwar dalam memastikan konsensus dicapai terhadap isu pengasingan kuasa itu wajar dilihat sebagai pencapaian luar biasa.
Menurut beliau, ‘aura’ beliau dalam melakukan rundingan dan perbincangan meletakkan Presiden PKR itu jauh ke depan berbanding pemimpin lain, termasuklah ketika bersama Pas menerusi Pakatan Rakyat (PR) dahulu.
“Sejak dulu lagi, Anwar dianggap tokoh nombor satu yang mampu mempersatukan Pas, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Hari ini, keupayaan sama diterjemahkan dalam Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan lebih 157 kerusi Parlimen
“Kredibiliti Anwar sebagai diplomat terbukti apabila beliau berjaya meyakinkan gabungan parti-parti untuk menerima dasar besar seperti pengasingan kuasa, walaupun prosesnya memakan masa panjang sehingga tiga tahun. Bagi saya setakat ini tiada tandingnya.
“Pengasingan kuasa ini merupakan perjuangan Pakatan Rakyat sejak Anwar mengetuai gabungan itu. Justeru, dasar ini sangat bagus kerana salah satu perjuangan reformasi berjaya direalisasikan, selain dapat mengelak daripada perbuatan berat sebelah,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Dalam pada itu, Jamaie memaklumkan, kejayaan Anwar melaksanakan agenda pengasingan kuasa itu menerusi diplomasi dalam kerajaan gabungan adalah berbeza dengan apa dilakukan oleh UMNO yang pernah mendominasi lebih 50 tahun sehingga memiliki keputusan mutlak.
Menurut beliau, berbeza dengan PKR yang dipimpin oleh Anwar berikutan parti itu bukanlah dominan dalam Kerajaan MADANI, sebaliknya terikat dengan keperluan untuk membina konsensus.
“Kalau UMNO kira-kira 50 tahun dahulu dominan, keputusan boleh dibuat segera. Tetapi PKR bukan begitu. Ia terpaksa berunding dan mengambil masa panjang, tiga tahun setengah baru pengasingan kuasa ini dapat dilaksanakan.
“Sebab itu tempoh masa itu lebih panjang. Jadi bila orang kata PKR jadi kerajaan pun tak laksanakan apa yang diperjuangkan, mungkin orang tak faham dari segi politik dominan itu sebab PKR dia bukan dominan, Pas pun bukan dominan. Hanya UMNO sahaja dominan hingga apa yang dia nak buat dia boleh buat .
“Sehubungan itu, saya melihat apa yang dilakukan oleh PKR sekarang ini adalah satu kejayaan yang pada saya luar biasa, macam mana Perdana Menteri boleh meyakinkan gabungan-gabungan lain untuk setuju dengan pengasingan kuasa seperti dicadangkan sekarang,” katanya.

Katanya, Pas dan pembangkang sehingga kini masih gagal menampilkan tokoh setanding Anwar untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri, berbeza dengan keupayaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memimpin serta melakukan rundingan sejak era Pakatan Rakyat lagi.
“UMNO pernah kuat tetapi gagal bertahan. Anwar pula memimpin dalam keadaan tidak dominan, namun berjaya melaksanakan reformasi. Itu membezakan kepimpinan berasaskan dominasi dengan kepimpinan berasaskan diplomasi.
“Pas sendiri pernah mengakui bahawa Anwar merupakan calon yang terbaik untuk menjadi nombor satu dan calon Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat dahulu. Dalam pembangkang, masih tidak nampak tokoh yang boleh diketengahkan setanding dengan Presiden PKR,” katanya.
Sementara itu, Jamaie berpandangan, agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diumumkan kerajaan merupakan langkah positif, namun kejayaannya bergantung kepada kesungguhan politik (political will) untuk memastikan kedua-dua institusi itu benar-benar bebas.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM berkata, prinsip itu penting agar reformasi tidak sekadar menjadi retorik, sebaliknya benar-benar memperkukuh integriti sistem perundangan negara.
“Sekarang platform untuk pengasingan sudah ada. Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah memberikan kepercayaan kepada Peguam Negara dan juga Pendakwa Raya yang berlainan, supaya mereka tidak diganggu dalam melaksanakan kuasa untuk mendakwa dan sebagainya.
“Pada pandangan saya, jangan sekali-kali ada pihak cuba mencampuri dan menggangu tugas mereka. Hanya dengan cara itu pengasingan kuasa dapat menepati matlamat asal,” katanya.
Terdahulu, kerajaan pada Rabu bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas pertimbangan menyeluruh dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diambil setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan beberapa model berkaitan pengasingan kuasa berkenaan.
Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.




