
KOTA KINABALU – Pasukan guaman ibu arwah Zara Qairina Mahathir melantik pakar tulisan sendiri bagi pemeriksaan lanjut terhadap dokumen-dokumen yang dijadikan barang kes yang dipercayai mengandungi tulisan arwah.
Peguam, Rizwandean M Borhan berkata, permohonan mereka dibenarkan oleh Koroner di sini pada petang Isnin.
Beliau berkata, meskipun saksi dari Jabatan Kimia Malaysia telah memberi keterangan berhubung beberapa dokumen yang dikemukakan, termasuk helaian tulisan tangan dan buku teks sekolah, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.
“Hari ini saksi pakar tulisan tangan dari Jabatan Kimia telah memberi keterangan mengenai beberapa dokumen yang dikatakan diari, ada juga cebisan kertas, ada juga cebisan daripada buku. Buku teks sekolah pun ada juga, yang beratus muka surat.
“Perkara penting hari ini ialah, belum ada keputusan, atau belum dapat dipastikan bahawa tulisan-tulisan ini telah ditulis oleh mana-mana pihak yang dikenali, ataupun oleh arwah sendiri.
“Ini baru hanya dipanggil contoh ‘spesimen’ tetapi belum dapat dipastikan siapa yang menulis.
“Kami juga, bagi pihak ibu Zara, telah melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini.
“Kami juga telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar kami sendiri dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini,” katanya.
Katanya, pihaknya akan mengatur dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai tarikh dan lokasi pemeriksaan dokumen, yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Ini untuk memastikan bukti diperiksa dengan telus dan adil.
“Kami tidak mahu mendahului mahkamah, jadi lebih baik menunggu hasil pemeriksaan penuh sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” ujarnya ketika diminta mengulas sama ada pihaknya mempunyai keraguan terhadap keterangan saksi kedua prosiding itu.
Tambah Rizwandean, pasukan guamannya hanya menerima dokumen asal yang dimeterai pada semalam dan ada yang baru diterima pada Isnin, justeru pemeriksaan menyeluruh masih belum dapat dilakukan.





