KUANTAN – Seramai 80 doktor menyertai seminar e-invois dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) anjuran Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) di sebuah hotel terkenal di sini.
Seminar itu adalah bagi memberi maklumat berkaitan pengunaan sistem e-invois yang berintergrasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sepanjang seminar berlangsung, peserta didedahkan dengan kaedah yang selamat bagi melindungi maklumat peribadi pesakit dirawat di klinik kendalian mereka.
Perasmian seminar dilakukan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.
Razali dalam ucapan perasmiannya memaklumkan kerajaan Pahang komited memperkukuh pendigitalan serta pematuhan perundangan dalam sektor kesihatan swasta, khususnya melibatkan pelaksanaan sistem e-invois.
“Sebagaimana yang diumumkan LHDN, sistem e-invois akan diperluaskan secara berfasa kepada semua perniagaan termasuk klinik swasta.
“Tujuan utama pelaksanaan e-invois ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan percukaian, mengurangkan ketirisan hasil negara serta memastikan ketelusan dalam transaksi perniagaan.
“Bagi klinik swasta, ini bermakna segala transaksi termasuk bayaran pesakit, tuntutan insurans dan pembelian ubat perlu direkodkan secara digital serta dihantar terus ke sistem e-Invois yang berintegrasi dengan LHDN,” katanya.
Hadir sama Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abd Razak.
Sementara itu, Boi Saidi menjelaskan pelaksanaan E-Invois dan pematuhan terhadap PDPA diharap dapat berjalan dengan lancar melalui penganjuran seminar itu.
“Ia penting bagi memperkukuh integriti dan kecekapan sektor kesihatan swasta di Malaysia,” katanya.




