
LIMBANG – Persatuan pesara memainkan peranan penting sebagai penghubung antara bekas penjawat awam dan agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan pelbagai kementerian lain.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, peranan persatuan ini bukan sahaja dalam soal kebajikan pesara, malah turut membantu menyampaikan suara dan pendapat mereka kepada pihak berwajib secara teratur dan berkesan.
“Pesara guru, pegawai kerajaan dan pemimpin komuniti mempunyai pengalaman hidup yang luas.
“Kepakaran mereka boleh dimanfaatkan untuk membimbing masyarakat, terutama golongan muda,” katanya semasa berucap dalam satu majlis bersama ahli Persatuan Pesara Limbang di sini, pada Ahad.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang itu turut menekankan pentingnya golongan pesara terus memainkan peranan aktif dalam program komuniti termasuk bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.
“Sebagai contoh, pesara guru boleh terlibat dalam kelas bimbingan pelajar, manakala pesara pentadbir boleh menyumbang dalam perancangan aktiviti kemasyarakatan,” tambah beliau.
Datuk Hasbi turut menggalakkan persatuan pesara menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi melaksanakan seminar, bengkel keusahawanan dan latihan kemahiran pasca-persaraan.
Katanya, persatuan juga berperanan penting dalam membina komuniti sokongan dalam kalangan pesara yang mungkin menghadapi cabaran dari segi emosi atau sosial selepas bersara.
“Bersara bukan penamat sumbangan, malah ia satu permulaan baharu. Kita galakkan pesara menceburi bidang seperti pertanian, perniagaan dan sukarelawan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan persatuan, golongan pesara mampu terus menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.




