MCMC ambil keterangan ADUN Manjoi berkait hantaran berunsur perkauman

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri bagi menjalankan siasatan berhubung hantaran palsu berunsur perkauman mengenai insiden seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ahad lalu.

MCMC menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Selasa.

Agensi itu menegaskan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina.

“Seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, MCMC turut memaklumkan penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” katanya.

Terdahulu, Mohd Hafez dikecam pelbagai pihak selepas hantaran awalnya di laman sosial Facebook beliau mengenai insiden itu mengaitkan kejadian tersebut dengan seorang wanita kaum Cina.

Tangkap layar hantaran awalnya itu kemudiannya tular di media sosial meskipun beliau memadamkannya tidak lama selepas itu selepas identiti wanita berkenaan disahkan seorang wanita Melayu.

Beberapa laporan polis turut dibuat terhadap beliau khususnya oleh sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara.

Mohd Hafez turut memohon maaf dan mengakui kekhilafannya berhubung hantaran itu, namun menyifatkan perkara tersebut telah dimanipulasi selain turut membuat laporan polis.

Ahad lalu, seorang wanita ditahan selepas bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Nazrin ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar. 

Related Posts

MMM jadi mekanisme semakan sebelum tindakan terhadap wartawan – PM

JOHOR BAHRU – Sebarang tindakan terhadap wartawan dan organisasi media berdaftar perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM) sebelum siasatan atau tindakan lanjut diambil, kata Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan semak dakwaan kerugian pengusaha stesen minyak – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti dakwaan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian ketika tempoh peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api, termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat minyak berkaitan. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

JAS kenal pasti punca pembakaran haram dalam ladang di Padang Serai

JAS kenal pasti punca pembakaran haram dalam ladang di Padang Serai

MMM jadi mekanisme semakan sebelum tindakan terhadap wartawan – PM

MMM jadi mekanisme semakan sebelum tindakan terhadap wartawan – PM

Kerajaan semak dakwaan kerugian pengusaha stesen minyak – PM

Kerajaan semak dakwaan kerugian pengusaha stesen minyak – PM

Kerajaan perkukuh bantuan, elak golongan layak tercicir hadapi negara menua

Kerajaan perkukuh bantuan, elak golongan layak tercicir hadapi negara menua

PM mahu kelulusan pinjaman usahawan dipercepatkan

PM mahu kelulusan pinjaman usahawan dipercepatkan

Anwar: Isu 3R, tindakan terhadap media antara faktor Malaysia jatuh dalam indeks kebebasan media

Anwar: Isu 3R, tindakan terhadap media antara faktor Malaysia jatuh dalam indeks kebebasan media